Jikalah amanat itu berbunyi,
‘Barang siapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang kafir.’
lalu
kesannya, wujud suasana keliru dan saling tuduh menuduh sehingga
kafir-mengkafir dalam masyarakat, maka adakah perlu amanat di atas
ditarik balik demi mengelak pecah-belah?
Jika jawabannya ya,
bagaimana jika dienggani dengan hujah bahawa amanat di atas adalah sama
dengan maksud ayat al Quran dalam surah al Ma’idah:44?
Adakah kita akan kata, oleh kerana ianya memecah-belahkan umat Islam, maka ia tetap mesti ditarik balik!
Sudah
pasti itu bukan jawaban balasnya. Setiap muslim mesti takut untuk
mendesak ‘amanat’ yang membawa maksud ayat al Quran itu ditarik balik.
Ia ‘bagai’ mencabar maksud al Quran.
Justeru apakah penyelesaian agar tuduh-menuduh yang memecah belahkan tidak berlaku?
Ya, jawabannya hanya satu.
Beri
peluang amanat atau ‘ayat’ itu dijelaskan, disyarahkan dan ditafsirkan.
Hasil kefahaman yang bersuluh daripada tafsiran itulah, akan lenyaplah
segala tuduh-menuduh yang mengelirukan, lalu terhasillah satu kefahaman
yang satu terhadap amanat di atas.
Yang berhukum dengan hukum
Allah, maka selamatlah dia daripada amaran ‘amanat’ di atas secara
benar. Yang tidak berhukum dengan hukum Allah, maka dia tak selamat dan
mesti berusaha mengelak daripada bahaya itu. Maka semua akan selamat.
Penting
diketahui, ayat atau amanat atau kata hikmat adalah kata-kata pendek
yang cantik dan jelas. Jika timbul kekeliruan, jangan dibuang dan
diperangi. Ia mesti dipohon penjelasan. Penjelasan daripada kata amanat,
ayat, nas atau hikmat, hakikatnya akan menambahkan rasa hebat dan daya
pukau yang dimilikinya. Kerana itu, pujangga hidup kekal namanya
terkenal sepanjang zaman.
Begitulah ‘amanat tuan guru’ yang
menimbulkan kehangatan. Ia sebuah amanat yang pendek yang dipetik
daripada ceramah tuan guru yang panjang, lalu ditulis dan disebarkan.
Ada yang faham dengan mudah, ada pula yang perlukan penjelasan.
Jangan
pelik, seperti diterangkan di atas, bahawa setiap yang pendek, perlukan
penjelasan sebagaimana terbukti wujudnya ribuan kitab tafsir dan syarah
oleh para ulama kita sepanjang zaman di dalam menjelaskan maksud
daripada kependekan nas ayat al Quran, al hadis, athar dan kata-kata
hikmat pujangga Islam.
Maka memohon hak untuk menjelaskan maksud ‘amanat’ oleh tuan guru haji Abdul Hadi adalah benar dan hak di atas hak.
Oleh
kerana fitnah dan kekeliruan terhadap amanat ini begitu melata, lama
dan sengaja dihidupkan, maka adalah logik, baik dan sempurna sekali jika
penjelasan itu didengar oleh semua. Semua rakyat Malaysia.
Apakah
saluran media hari ini yang paling meluas dan lebih luas berbanding tv
milik kerajaan (jangan baca milik umno)? Tiada bukan?
Adakah ini syarat? Tidak! Ia hanya satu permintaan yang benar agar penjelasan dapat didengar dan difahami oleh semua.
Ah,
jika anda berkeras mengatakan itu satu syarat yang menyusahkan dan
bukan-bukan yang bermaksud mahu lari daripada kekalahan dan kesalahan,
mari saya jelaskan dulu sebelum anda terus hanyut dalam dakwaan itu.
Tuan
guru telah pun menjelaskan. Beratus kali sudah. Dan kami anak muridnya
pun telah menjelaskan maksud tuan guru itu. Beribu kali sudah. Bahkan
penjelasan itu terus diadakan hari ini dan esok juga. Tetapi masih ada
yang tidak dengar atau enggan mendengar atau sengaja buat dengar tak
dengar, faham tak faham.
Jadi, apa penyelesaian? Tarik balik??
Itu
tidak profesional bukan? Dunia hari ini semua menuntut sikap
profesional hatta dari seorang raja yang kebalnya tak lut oleh keris
telanjang..
Justeru jika permintaan untuk menjelaskan maksud amanat itu dalam tv adalah satu syarat sekali pun, maka apa ruginya syarat itu?
Adakah
semua kalimah ‘syarat’ itu mengandungi konotasi jahat? Nak masuk syurga
pun bersyarat. Nak masuk PAS atau UMNO pun bersyarat. Jahat?
Apa ruginya menjelaskan amanat sendiri di hadapan jutaan rakyat berbanding di hadapan ribuan hadirin?
Semua
rakyat menunggu penjelasan terhadap amanat tersebut. Jika tak mahu
dengar, rasanya terlalu mudah untuk tutup tv atau tukar saja ke saluran
lain. Macam-macam ada dalam tv tu. Saya yakin, siaran langsung
penjelasan amanat tu langsung tidak mengganggu sesiapa pun.
Dan...
Pada
saya, dengan penuh yakin, bukan hanya orang PAS, orang awam atau
sesiapa pun, bahkan orang umno pun akan bahagia dengan penjelasan amanat
oleh pemilik amanat tersebut.
Kenapa?
Kerana saya yakin,
orang umno tidak kafir dan tidak pun dikafirkan oleh amanat trrsebut.
Penjelasan amanat nanti akan menambahkan kejelasan bahawa orang umno
tidak kafir, bahkan muslim yang bersaudara. Setiap yang mengucapkan
kalimah tayyibah atau syahadah adalah muslim yang bersaudara.
Masing-masing gembira hidup berpesan-pesan dengan kebenaran dan
kesabaran sebagaimana tuntutan agama.
Bukankah itu satu kegembiraan dan kebahagiaan bersama?
Cuma..
Yang
saya bimbang, walaupun saya berharap ia tidak berlaku. Hanya bimbang
disebabkan semacam wujud tanda-tanda yang kelihatan balam-balam dari
kejauhan.
Saya bimbang jika ada SEGOLONGAN yang akan kecewa jika
penjelasan terhadap amanat itu berjaya merumuskan bahawa orang umno
tidak kafir atau tidak dikafirkan oleh amanat tersebut.
Mereka
akan kecewa kerana mereka bersungguh-sungguh mahukan PAS mengatakan UMNO
kafir. Dengan itu mereka akan beroleh senjata yang tajam
setajam-tajamnya oleh merodok perut PAS dan para pejuangnya, lalu
merekalah pejuang Islam, raja, rakyat dan Melayu yang sebenarnya.
Jika ada golongan ini seperti yang saya bimbangkan, maka saya akan berdoa sepanjang masa.
Ya Allah, hancurkanlah musuh agamaMu dan musuh umatMu ini sehancur-hancurnya.
Ustaz Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM).
Link Asal: http://nikabduh.com/2012/12/31/amanat-haji-abdul-hadi-jika-ia-berbunyi-begini/
0 comments:
Post a Comment