Kehangatan Pilihan Raya Umum (PRU) semakin
terasa. Bukan sahaja hangat, malah mungkin ada yang sudah hangus dibaham
kepanasan PRU yang dijangka paling sengit dalam sejarah pilihan raya di
Malaysia. Buat pertama kalinya, UMNO dan Barisan Nasional (UMNO-BN) selaku
parti pemerintah yang sudah memerintah sejak kemerekaan negara merasakan
kemungkinan mereka akan tewas dan tidak dapat membentuk kerajaan lagi selepas
ini.
Jika dinilai kepada perkembangan politik dunia,
maka kegusaran UMNO ini ada asasnya. Di Jepun, parti LDP yang merupakan parti
utama di sana yang memerintah sejak 1955, akhirnya merasa kehilangan kuasa di
tahun 2009. Di United Kingdom juga, Tony Blair yang merupakan antara Perdana
Menteri yang popular, akhirnya diturunkan setelah menerima hukuman dari
rakyatnya atas pelbagai kesalahan terutamanya menyertai perang bersama Amerika
yang menyaksikan United Kingdom mengalami kemerosotan ekonomi.
Ini belum dikira dengan fenomena ‘Arab Spring’
yang kini sedang merebak di Dunia Arab. Satu persatu kuasa regim dan diktator
negara Arab digulingkan dengan cara yang lebih ekstrem. Ben Ali di Tunisia
bertempiaran lari ke Saudi dan Muammar Ghadafi di Libya mati dibunuh. Presiden
Yaman, Ali Abdullah Salleh diserang dan hampir terbunuh. Bekas Presiden Mesir,
Husni Mubarak pula kini sedang menanti perbicaraan semula oleh kerajaan baru
pimpinan Muhammad Mursi.
PRU13 Meriah
Dengan segala perkembangan ini, UMNO kini sudah
kecut perut. Bayangan kekalahan dan hilang kuasa semakin menjelma. Ini yang
menjadikan PRU13 merupakan PRU paling meriah yang akan berlangsung. Angin
perubahan yang melanda rakyat rata-ratanya menunjukkan ingin merasai perubahan
kerajaan setelah lebih 50 tahun peluang hanya diberikan kepada UMNO-BN.
Dalam kemeriahan demam PRU ini, muncul sebuah
NGO baru yang kini vocal dalam menyuarakan pandangan dan kritikan khususnya
kepada Pakatan Rakyat (PR) mengumumkan akan turut terlibat dengan menghantar
calon untuk bertanding dalam pilihan raya. Tindakan mencemar duli ini, jika
dipandang dari sudut demokrasi, maka ianya dialu-alukan. Semoga dengan
penyertaan mereka, akan memberikan mereka gambaran sebenar dunia politik
kepartian, setelah sekian lama melihat lapangan politik negara dari luar pagar.
Namun, apabila dipandang dari sudut tujuan,
matlamat dan strategi NGO bernama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) ini untuk
menyertai pilihan raya, ia menimbulkan pelbagai persoalan. Salah satu tujuan
mereka seperti yang dinyatakan presidennya iaitu Al Fadhil Ustaz Abdullah bin
Zaik, yang saya kira menjadi kesimpulan kepada semua tujuan lain adalah untuk
membantu mengukuhkan kedudukan politik orang Islam demi masa depan agama,
bangsa dan negara.
Apabila diteliti secara teknikal, persoalan
utama yang timbul adalah apakah peranan yang akan dimainkan oleh ISMA jika
mereka menghantar calon untuk bertanding dalam PRU13. Menjadi tradisi PRU di
Malaysia, pertembungan yang berlaku kebanyakkannya adalah perlawanan satu lawan
satu iaitu pihak BN dan lawannya. Untuk PRU13 ini, dengan menilai iklim politik
semasa, hampir pastinya semua kerusi Parlimen dan DUN akan ditandingi oleh dua
parti gabungan utama di Malaysia iaitu BN dan PR.
Potensi Calon Bebas
Realiti ini akan menyebabkan tiada satu kerusi
pun yang akan berlaku kemenangan tanpa bertanding, atau hanya satu pihak sahaja
yang menghantar calon. Oleh itu, jika ada pihak lain selain dua parti gabungan
ini ingin bertanding, maka pastinya mereka akan berhadapan dengan calon dari BN
dan PR yang kemudiannya akan membawa kepada pertandingan tiga penjuru atau
lebih
.
Maka, menurut pemerhatian saya, penyertaan ISMA
akan menimbulkan tiga kemungkinan peranan yang akan dimainkan mereka. Pertama,
calon ISMA akan menjadi calon bebas sepenuhnya. Kedua, calon ISMA menjadi calon
bebas yang mesra dengan mana-mana parti gabungan utama. Ketiga, ISMA akan
diberi laluan oleh mana-mana pihak untuk bertanding mewakilinya.
Jika kita menolak kemungkinan ada kompromi
daripada BN atau PR kepada ISMA, maka ISMA pastinya akan menjadi calon bebas.
Samada bebas sepenuhnya atau bebas yang berpihak, saya tidak mahu mengulasnya.
Apa yang hendak diperhatikan adalah potensi calon bebas dalam PRU di Malaysia
setakat ini tidak lebih daripada pihak yang akan memeriahkan suasana, atau
menjadi pemecah undi kepada parti gabungan yang bertanding.
Dalam sejarah PRU, amat sedikit calon bebas
yang berjaya memenangi kerusi. Calon bebas yang berjaya ini hanya di beberapa
kerusi di Sabah dan juga calon bebas yang meminta laluan dari parti gabungan
seperti YB Datuk Ibrahim Ali di kerusi Pasir Mas pada PRU12 yang lepas.
Kebanyakan calon bebas yang lain kalah teruk di kerusi yang dipertandingkan dan
kehilangan wang deposit.
Apakah Pilihan ISMA?
Oleh itu, jika diteliti dari sudut matlamat
ISMA yang ingin menyertai pilihan raya secara serius, agak janggal jika ISMA
menyertai PRU hanya sekadar pemeriah suasana dan ingin menginfaqkan wang
depositnya kepada SPR. Tetapi, jika dinilai pula dari sudut kemampuan ISMA
memenangi pilihan raya, bagi saya ini juga masih samar-samar.
Kekuatan mana-mana entity yang menyertai
pilihan raya bukan boleh diukur dengan kekuatan media Youtubenya sahaja, juga
bukan boleh diukur berdasarkan respon hangat yang diperolehinya apabila setiap
kali memberikan ulasan politik. Kekuatan dalam pilihan raya diukur dengan
kekuatan jentera, media yang menyeluruh, penyokong, kekuatan menggempur, dan
juga kemampuan masuk ke peringkat akar umbi masyarakat.
Oleh itu, jika dinilai dari sudut reality dan
kebiasaan PRU, jika ISMA benar-benar bertujuan untuk memenangi kerusi, ISMA
perlu menjadi calon bebas yang mesra terhadap mana-mana parti gabungan besar
agar mereka diberikan laluan untuk bertanding satu lawan satu. Jika ISMA
menyertai politik sekadar untuk memecahkan undi agar pihak yang disokongnya
menang, maka cukuplah ISMA menjadi calon bebas yang akan mengimplikasikan
perlawanan tiga penjuru di kerusi yang akan ditandinginya.
Namun begitu, saya tidak dapat menilik pilihan
manakah yang akan diambil oleh ISMA. Apa yang saya ingin kupas dalam artikel
yang mungkin panjang ini adalah kesan penyertaan ISMA dalam PRU13 dengan
mengambil sudut pandangan ‘paling sangka baik’
yang saya mampu. Dengan ini, kita dapat menilai sejauh mana penglibatan ISMA
ini akan menguntungkan Islam dan mencapai tujuan yang mereka gariskan.
Sebelum kita ingin meneliti lanjut percaturan
politik yang akan berlaku, penting untuk kita mengetahui terlebih dahulu apakah
pendirian dan pandangan ISMA terhadap parti-parti politik di Malaysia kerana
pendirian mereka ini akan memberikan kesan utama terhadap tindakan politik
mereka. Seperti ilmu Qawaidh Fiqhiyyah, sesuatu hukum itu dapat diqiaskan
daripada hukum yang lain berdasarkan kaedah yang dijadikan asas dalam
penilaian.
Maka, penilaian saya yang berikutnya berkenaan
perbincangan ini adalah berteraskan pendirian dan gesaan-gesaan yang pernah
ISMA suarakan terhadap parti-parti politik utama di Malaysia khususnya parti
yang pernah ditegur dan dikritik oleh ISMA. Saya mengkhususkan pendirian ISMA
ini terhadap apa yang pernah disuarakan mereka samada
melalui kenyataan terbuka pimpinan mereka atau maklumat yang saya dapat secara
terus daripada ahli-ahli mereka.
Pendirian ISMA Terhadap Dua Parti Besar Orang
Melayu
UMNO dilihat oleh ISMA sebagai parti Islam yang
memperjuangkan Islam, bangsa Melayu dan Raja-raja Melayu. Ini banyak disebut oleh
ISMA di dalam buletinya apabila menamakan UMNO sebagai parti Islam seperti PAS.
Walaupun ISMA mengakui bahawa UMNO amat bermasalah terutamanya dalam masalah
ketelusan dan penjagaan hak rakyat, tetapi semua itu dilihat masih boleh
dimaafkan apabila bertembung dengan perkara yang bagi ISMA lebih utama iaitu
orang Melayu khususnya UMNO dan PAS perlu bersatu dan berkerjasama demi
kebaikan orang Melayu.
Pada saya, apa yang kelihatan pelik di sini
adalah harapan menggunung masih diberikan kepada UMNO untuk menjaga Islam dan
bangsa Melayu walaupun secara fakta dan sejarah telah terbukti UMNO banyak
mengkhianati Islam, bangsa Melayu dan Raja-raja Melayu. Contohnya, masalah
didikan kepada remaja yang banyak dihalakan kea rah hiburan melampau, isu
hudud, isu royalty, penafian hak kepada rakyat yang menyokong PAS,
penyelewengan, ketirisan, kebocoran dana negara, krisis perlembagaan 1992
berkenaan kuasa raja-raja, dan pelbagai lagi rekod yang kemas tersimpan dalam
lipatan sejarah.
Berkenaan PAS, ISMA kerap mengulangi pendirian
mereka bahawa mereka menyayangi PAS dan mahukan PAS terus istiqamah
memperjuangkan Islam, walaupun banyak tindakan yang ISMA lakukan mampu untuk
menjejaskan PAS. ISMA secara tidak langsung membahagikan PAS kepada dua pihak
iaitu yang pertama pihak PAS tulen dan kedua pihak PAS ‘celup’ atau pihak di
dalam PAS yang komited dan rapat dengan rakan PR yang lain iaitu PKR dan DAP
(perkataan celup ini adalah pilihan saya sendiri kerana bertepatan dengan
antonim bagi tulen).
Dengan pembahagian ini, ISMA dilihat menyokong
pihak PAS yang tulen dan sangat vokal terhadap pihak PAS celup, dan mereka
menggesa supaya PAS mengekalkan perjuangan PAS yang asal seperti yang dipegang
sebelum mengadakan kerjasama dalam PR, walaupun keadaan sebenarnya adalah PAS tidak
pernah mengubah dasar perjuangan. Yang berlaku adalah PAS mengubah slogan dan
pendekatan politik. Selain itu, bagi ISMA, PAS perlu dominan dalam PR dan
mengetuai pakatan ini jika memerintah Malaysia. Jika tidak, PAS perlu mengkaji
semula dasar tahalluf siyasi yang dijalankan kini dan jika perlu, PAS harus
keluar daripada PR.
Perbandingan Hubungan Bersama UMNO dan PAS
Pada pandangan saya, jika dinilai perbandingan
secara realiti antara hubungan ISMA-UMNO dan ISMA-PAS, ISMA dilihat lebih
menyantuni UMNO dan amat vokal terhadap PAS. ISMA beralasan bahawa PAS adalah
parti Islam harapan yang perlu lebih banyak ditegur jika mereka tergelincir
daripada landasan mereka. Namun, beberapa kritikan ISMA dilihat agak
keterlaluan seperti mengatakan PAS hilang identity, melabel beberapa pimpinan
PAS sebagai liberal, membuat komentar terhadap isu-isu yang melibatkan PAS
secara tidak adil dan pelbagai lagi tindakan yang vokal terhadap PAS.
Berbeza pula dengan UMNO, ISMA dilihat tidak
banyak mengkritik keras UMNO dan lebih mengutamakan sangka baik terhadap UMNO.
Jika ada kritikan dibuat, kritik itu dilihat terlalu sopan santun dan bagi saya
cukup sekadar melengkapkan ‘kouta teguran’. Apatah lagi apabila menyentuh
berkenaan isu-isu penyelewengan dan kezaliman UMNO kepada rakyat, boleh
dikatakan tiada pendirian rasmi dibuat ISMA berkenaannya walaupun isu yang
timbul menyentuh hak orang Melayu secara langsung atau tidak langsung.
Contohnya, isu Bersih, royalty Kelantan dan hukum hudud.
Di sinilah timbul kontroversi di mana ISMA
dilihat sangat mesra UMNO dan sebaliknya pula terhadap PAS, hinggakan ISMA
dianggap oleh sesetengah pihak sebagai alat UMNO untuk berhadapan dengan PAS
dalam PRU akan datang. Apabila ISMA mengumumkan akan menyertai pilihan raya,
ramai mula membuat andaian ISMA akan menjadi calon UMNO atau diberi laluan oleh
UMNO untuk menentang PAS. Ditambah lagi dengan komitmen ISMA yang selama ini
mengkritik keras PAS dan PR memberikan satu petunjuk jelas bahawa hampir
mustahil penyertaan ISMA dalam PRU akan datang ini bertujuan memberikan
keuntungan kepada PR.
Pada pandangan saya, jika benar ISMA berperanan
sebagai NGO bebas yang ingin melihat perpaduan dan kesatuan di kalangan umat
Islam, ISMA perlu adil dalam memberikan kritikan. ISMA bebas untuk tidak
bersetuju dengan dasar PAS dan mengkritiknya, namun kepincangan dan kezaliman
yang dilakukan UMNO terhadap PAS, umat Islam dan harta negara seharusnya
mendapat perhatian ISMA.
Namun, ini tidak berlaku. PAS terus menerus
dikritik walaupun perkara yang dikritik itu termasuk dalam perkara ijtihad dan
hal ehwal dalaman PAS. Sedangkan kezaliman UMNO yang jelas nyata bercanggah
dengan Islam dan menzalimi hak rakyat Malaysia termasuk masyarakat Melayu,
tidak diulas dan diambil peduli secara serius oleh ISMA. Di sinilah timbul
kehairanan saya, bentuk perjuangan Islam dan Melayu apakah yang dibawa oleh
ISMA jika terlalu banyak isu yang menyentuh hak orang-orang Melayu dan keadilan
pemerintahan Islam tidak termasuk dalam penilaian dan agenda perjuangan ISMA.
Pandangan ISMA Terhadap PKR, DAP dan MCA
ISMA dengan jelas melabelkan PKR sebagai parti
liberal walaupun PKR ditunjangi oleh pemimpin berbangsa Melayu dan beragama
Islam. Dalam apa jua komentar ISMA berkenaan politik, tidak pernah kelihatan
ISMA memberikan pandangan positif dan membina kepada PKR. Pendirian ISMA
terhadap PKR ini mungkin lahir daripada pendekatan PKR dalam politik negara
yang ISMA rasakan lebih mengutamakan keadilan social daripada banyak bercakap
berkenaan Islam.
Sikap lantang ISMA terhadap PKR ini lebih jelas
kelihatan apabila ISMA sama sekali tidak memasukkan PKR dalam agenda umatnya
dan hanya memfokuskan PAS dan UMNO sebagai symbol utama perpaduan umat Islam.
Sedangkan hakikat politik semasa yang tidak dapat kita elakkan adalah PKR juga
disokong oleh sebahagian besar masyarakat Islam Melayu di Malaysia, di mana
jika PKR diabaikan daripada agenda penyatuan Melayu, bermakna akan ada lebih
30% daripada orang Melayu diabaikan daripada disatukan.
Berkenaan DAP dan MCA, ISMA kelihatan bersikap
sangat keras terhadap DAP, malah lebih keras daripada sikap ISMA terhadap MCA
yang juga merupakan parti yang diwakili kaum Cina. Ini dibuktikan apabila
timbul isu sensitif yang melibatkan umat Islam yang ditimbulkan oleh DAP akan
dilayan sangat keras berbanding isu yang ditimbulkan oleh MCA. Bukan sekali dua
MCA menunjukkan kebiadapan kepada Islam, tetapi kritikan kepada MCA kelihatan
lebih lunak berbanding kritikan kepada DAP.
Mengapa MCA Menerima Layanan Lebih Baik?
Dalam penilaian saya, sikap ini mungkin timbul
disebabkan pandangan ISMA bahawa dominasi UMNO dalam konteks BN lebih kuat
berbanding dominasi PAS dalam PR, seperti yang dinyatakan oleh Presiden ISMA
dalam pembentangan kertas kerja semasa program konvensyennya di Putrajaya tahun
lepas. MCA dilihat berada di bawah kawalan dan penguasaan UMNO berdasarkan
percaturan kuasa dan kerusi pilihan raya di mana UMNO sentiasa memiliki jumlah
kerusi tertinggi dalam setiap penggal Parlimen Malaysia. Malahan, dalam pilihan
raya umum juga UMNO akan bertanding di lebih 112 kerusi Parlimen iaitu jumlah
minimum majority mudah untuk membentuk kerajaan sedangkan MCA, jika mengikut
rekod PRU12, hanya bertanding di 40 kerusi Parlimen.
Jika benar ini asas yang digunakan untuk
menetapkan sikap terhadap MCA, saya berpendapat sikap begini tidak adil. Dalam
banyak isu membabitkan Islam yang sama-sama tidak dipersetujui oleh MCA dan
DAP, kita dapat lihat asas penolakan dan tidak setuju kedua mereka adalah
berbeza. Contohnya dalam isu hudud, DAP walaupun tidak bersetuju dengan PAS,
namun asas ketidaksetujuan mereka adalah mereka berpandangan hudud bercanggah
dengan semangat Pelembangaan Persekutuan.
Berbeza dengan MCA, mereka tidak bersetuju
dengan hudud disebabkan mentality mereka yang memandang hina hukum Allah ini.
MCA melalui presidennya yang berucap semasa Perhimpunan Agong MCA tahun lepas,
yang mana ketika ucapan itu dibuat Presiden UMNO Dato’ Seri Najib ada dalam
majlis tersebut, dengan jelas menyatakan hukum hudud tidak menyelesaikan
masalah, malah negara-negara Islam yang mengamalkan hudud merupakan antara
negara yang paling korup dalam dunia.
Ratib yang dimainkan MCA adalah sama dengan
zikir yang pernah dilafazkan pemimpin UMNO sebelum ini seperti hudud tidak
adil, membawa negara ke arah ketidakstabilan, dan kemunduran. Dalam isu
bersalaman antara lelaki dan perempuan, MCA pernah menghina calon muslimat PAS
yang bertanding dalam PRK N05 Tenang di Johor sebagai tidak mesra rakyat hanya
kerana tidak bersalam dengan pengundi lelaki. Jika ISMA adil dalam penilaian,
seharusnya layanan kepada kedua-dua parti ini adalah sama dan sekata. Tidak
adil sekiranya DAP dikritik dengan keras sedangkan MCA adakalanya bersikap jauh
lebih biadap daripada DAP dalam isu-isu yang melibatkan agama Islam.
Berkenaan pendirian ISMA terhadap parti-parti
lain khususnya parti kompenan BN seperti MIC, Gerakan, PPP dan lain-lain, saya
rasa tidak perlu diulas kerana parti-parti ini boleh dikatakan tidak banyak
terlibat dengan isu-isu umat Islam. Malah, ISMA sendiri boleh dikatakan tidak pernah
menyentuh dan menyatakan pendirian yang jelas kepada mereka lantaran
ketidakterlibatan mereka dalam isu-isu Melayu dan agama Islam di Malaysia.
Bersambung di bahagian dua (andaian percaturan
politik ISMA dan kesannya).
Mohd Azrul Azuan bin Idris
2.00 pm, 5 Februari 2013.
Sumber:
http://www.mohdazrul.net/2013/02/isma-dan-pilihanraya-satu-penilaian.html
0 comments:
Post a Comment