KENALI PAS

Klik gambar untuk senarai artikel.

PRU13

Klik gambar untuk senarai artikel.

MANIFESTO

Klik gambar untuk senarai artikel.

FIKRAH

Klik gambar untuk senarai artikel.

TAHALUF SIYASI

Klik gambar untuk senarai artikel.

KALIMAH ALLAH

Klik gambar untuk senarai artikel..

Showing posts with label Tsaqafah. Show all posts
Showing posts with label Tsaqafah. Show all posts

Wednesday, 17 April 2013

Hukum Tahaluf Siyasi dalam Konteks Gerakan Islam Masa Kini

Pendahuluan

Istilah tahaluf siyasi menjadi satu istilah yang semakin dikenali khususnya di kalangan pendokong gerakan Islam. Dengan kejatuhan khilafah Uthmaniyyah di Turki pada tahun 1924, gerakan Islam yang pertama ditubuhkan ialah Ikhwan al-Muslimin di bawah pimpinan Hassan al-Banna pada tahun 1928. Penubuhan gerakan ini di Mesir membayangkan hasrat untuk menegakkan Haikimiyyah Allah SWT. Idealisme ini berkembang ke seluruh dunia dengan penubuhan gerakan-gerakan Islam di hampir setiap negara di dunia. Matlamat dan konsep perjuangan mereka hampir sama antara satu lain iaitu ke arah menegakkan sebuah negara Islam dan lebih jauh dari itu menghidupkan semula sistem khilafah yang telah berkubur.

Dalam keadaan hari ini, amatlah disedari oleh gerakan-gerakan Islam bahawa mereka tidak mampu untuk berdiri sendiri dalam memperjuangkan aspirasi masing-masing. Di dalam sesebuah negara bangsa yang dibina pada zaman moden ini, tidak semua rakyat memahami inti kandungan Islam dan kebaikan-kebaikannya. Lantas, berlakulah keperluan untuk bekerjsama dengan gerakan lain samada di dalam menyertai politik pilihanraya atau sebagai pendokong di dalam pembentukan kerajaan. Persoalannya, adakah ia merupakan satu keharusan? Dalam erti kata lain, haruskah bagi sesebuah gerakan Islam untuk menjalinkan kerjasama dengan gerakan lain yang tidak mempunyai hasrat yang sama dengannya dalam membentuk kerajaan?

 
Pengertian Tahaluf Siyasi

Tahaluf Siyasi membawa makna kerjasama harakah Islam dengan mana-mana pergerakan lain yang tidak bermatlamatkan Islam di dalam perjuangannya. Kerjasama ini boleh terjadi di dalam apa jua bidang yang dipersetujui bersama untuk sama-sama menghadapi musuh yang sama. Tahaluf Siyasi juga kemungkinan boleh berlaku dengan gerakan yang pernah atau berpotensi untuk menentang ideologi harakah Islam. Dalam suasana hari ini, tahaluf siyasi yang dimaksudkan juga termasuk kerjasama dengan golongan bukan Islam untuk menghadapi musuh yang sama.


Hukum Tahaluf Siyasi

Para ulama haraki khususnya berbeza pandangan mengenai hukum melakukan kerjasama dengan gerakan yang tidak bermatlamatkan perjuangan Islam. Sebahagian daripada mereka dengan tegas menolak langsung sebarang usaha melakukan kerjasama ini serta menghukumkan bahawa kerjasama ini sebagai haram. Di antara mereka ialah Sheikh Muhammad Qutb dan al-Syeikh al-Imam Abu Nasr Muhammad bin Abdullah . Manakala di antara ulama yang mengharuskan tahaluf siyasi ialah Dr Yusuf al-Qaradhawi , Dr Mustoffa al-Tohhan , al-Syeikh Muhammad Ahmad al-Rasyid , Doktor Solah al-Showi dan Doktor Munir Ghahdban .
Dalil-dalil yang dipegang oleh ulama yang mengharamkan tahaluf siyasi ialah seperti berikut :

1. Firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى أَوْلِيَاءَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ (51) فَتَرَى الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ يُسَارِعُونَ فِيهِمْ يَقُولُونَ نَخْشَى أَنْ تُصِيبَنَا دَائِرَةٌ فَعَسَى اللَّهُ أَنْ يَأْتِيَ بِالْفَتْحِ أَوْ أَمْرٍ مِنْ عِنْدِهِ فَيُصْبِحُوا عَلَى مَا أَسَرُّوا فِي أَنْفُسِهِمْ نَادِمِينَ (52)
Yang bermaksud : Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin(mu); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. barangsiapa diantara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, Maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim. Maka kamu akan melihat orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya (orang-orang munafik) bersegera mendekati mereka (Yahudi dan Nasrani), seraya berkata: "Kami takut akan mendapat bencana". Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada Rasul-Nya), atau sesuatu keputusan dari sisi-Nya. Maka kerana itu, mereka menjadi menyesal terhadap apa yang mereka rahasiakan dalam diri mereka.

Hujah : Kerjasama gerakan Islam dengan orang-orang kafir di atas dasar politik akan menjauhkan lagi orang-orang Islam daripada mereka. Ini kerana, Islam mengharamkan sebarang jenis wala’ kepada kepada ahli kitab yang mempunyai akidah yang hampir sama dengan Islam, apatah lagi wala’ kepada orang-orang kafir yang akidah mereka langsung tidak mempunyai persamaan dengan akidah Islam. 

2. Firman Allah SWT :
فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا
Yang bermaksud : Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya

Hujah : Ayat di atas berkenaan dengan pengharaman arak dan judi. Namun jika dilihat dari sudut tahaluf siyasi, kerjasama dengan musuh mungkin mendatang manfaat dari beberapa sudut, bagaimanapun dari sudut yang lebih jauh iaitu ke arah menegakkan hakimiah Allah SWT, ia tidak akan dapat dicapai. Lantas, kerjasama akan menyebabkan terbantutnya usaha gerakan Islam untuk menegakkan daulah Islamiah. Oleh yang demikian, kerjasama ini adalah haram kerana lebih banyak mendatangkan mudharat daripada manfaat.

3. Pertimbangan logik bahawa gerakan yang tidak berhasrat untuk menegakkan Islam ini pastinya hanyalah menjadikan gerakan Islam sebagai jambatan untuk mereka mendapatkan kuasa. Mereka sekali-kali tidak membiarkan gerakan Islam ini berkembang sehingga mengatasi diri mereka. Dan ini sekali lagi akan menghalang kepada tertegaknya daulah Islamiah seperti yang diperjuangan oleh Harakah Islamiah.
Manakala bagi golongan ulama haraki yang mengatakan tahaluf siyasi sebagai sesuatu yang diharuskan, mereka berpegang dengan hujah-hujah berikut :

1. Half al-Fudhul : Ia merupakan satu peristiwa yang berlaku pada zaman jahiliyyah iaitu perjanjian di antara beberapa qabilah untuk menolong golongan yang dizalimi. Perjanjian ini telah disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW. Inilah yang dimaksudkan oleh hadis baginda yang menyatakan :
وَأَيُّمَا حِلْفٍ كَانَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ لَمْ يَزِدْهُ الْإِسْلَامُ إِلَّا شِدَّةً
Yang bermaksud : Mana-mana perjanjian yang dilaksakanan ketika jahiiyyah tidak akan ditambahkan (diubah) oleh Islam melainkan semakin patut dilaksanakan - membawa makna mana-mana perjanjian di zaman jahiliyyah yang bermaksud kerjasama dan silaturrahim tidak akan berubah ketika Islam melainkan ia lebih patut untuk dilaksanakan. Ini kerana Islam tidak akan mengharamkan sesuatu perkara yang baik.
Hujah : Sekalipun Nabi SAW menyaksikan perjanjian ini ketika jahiliyyah, tetapi kerana Nabi telah memujinya semasa Islam, ia dianggap sebagai perkara yang baik. Ini menunjukkan bahawa sekalipun yang berada dalam ikatan perjanjian itu orang-orang yang berakidah salah, ia tetap dianggap perjanjian yang baik selagi mana tujuannya adalah baik.

2. Perjanjian Rasulullah SAW dengan bapa saudaranya Abu Talib untuk menjaganya serta memeliharanya dari ancaman kaum Quraisy. Tahaluf di antara mereka berdua berlaku dalam beberapa peringkat :
2.1 Ketika Abu Talib melihat bagaimana Nabi Muhammad SAW bertegas untuk melaksanakan dakwah sekalipun terpaksa mati untuk Islam, Abu Talib lantas menyatakan : “Teruskan wahai anak saudaraku, katakanlah apa yang kamu hendaki. Demi Allah, aku tidak akan serahkan kamu kepada sesiapa selama-lamanya” Kata-kata ini dibuktikan beberapa kali oleh Abu Talib di mana pernah beliau mengetahui tentang sekumpulan kaum Quraisy yang merancang untuk membunuh Nabi Muhammad SAW, lalu dikumpulkan bani Abdul Mutalib dan Bani Hasyim untuk melindungi baginda SAW. Mereka semua berkumpul termasuklah yang masih kafir untuk melindungi Nabi Muhammad SAW.

2.2 Peringkat berikutnya ialah ketika kaum Quraisy melancarkan pemulauan kepada Bani Hashim dan Bani Abdul Mutalib sebagai tindak balas kerana mereka melindungi Rasulullah SAW. Lalu ditulis surat penguatkuasaan di mana tidak dibenarkan sesiapa pun menikahi atau dinikahi oleh kedua-dua kabilah ini. Juga tidak dibenarkan berlakunya urusan jual beli dengan kedua-duanya. Surat ini ditampalkan di dinding kaabah.

Hujah : Di dalam peristiwa-peristiwa ini, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa menjadi satu keharusan jamaah Islam untuk mendapat perlindungan daripada orang yang bukan Islam demi mencapai matlamat perjuangannya. Namun ia tidaklah sampai kepada peringkat tunduk dan patuh sehingga menggadaikan perjuangannya.

3. Perjanjian Rasulullah SAW dengan Mut’im bin ‘Adi. Ia berlaku selepas kewafatan Abu Talib dan sekembalinya baginda SAW dari menyebarkan dakwah Thaif. Rasulullah SAW telah memasuki kota Mekkah dengan perlindungan seorang musyrik yang bernama Mut’im bin ‘Adi. Rasulullah SAW menghargai pertolongan Mut’im sehingga baginda pernah bersabda apabila memenangi perang Badar, “Sekiranya Mut’im bin Adi masih hidup lalu memintaku membebaskan tawanan ini, aku akan lakukan untuknya..”

Hujah : Mut’im di dalam peristiwa ini sekalipun tidaklah memberikan kebebasan dan pertolongan kepada dakwah Islam tetapi melakukan sesuatu yang lebih besar dari itu iaitu menjaga tubuh badan Nabi Muhammad SAW. Mut’im tidak pernah berniat untuk menjadi pengikut Rasulullah SAW dan pendirian ini jelas ketika ia menjawab soalan dari Abu Jahal . Ini menunjukkan keharusan mendapatkan kerjasama dari orang yang tidak berniat melaksanakan Islam di dalam urusan yang memberikan kebaikan kepada Islam dan umatnya.

4. Perjanjian yang dibuat oleh Rasulullah SAW dengan kaum Yahudi ketika ditegakkan negara Islam Madinah. Perjanjian yang melahirkan Sahifah Madinah ini merupakan satu-satunya peristiwa besar dan terpenting yang menjadi hujjah keharusan kaum muslimin menjalinkan perjanjian dengan orang-orang bukan Islam di atas dasar memelihara kebajikan kedua-dua pihak.

Di antara isi kandungan perjanjian ini ialah, “Kaum muslimin mempunyai haknya dan kaum Yahudi mempunyai haknya. Dan di antara mereka hendaklah tolong menolong sekiranya diserang oleh sesiapa. Dan di antara mereka hendaklah saling menasihati dan bekerjasama. Dan janganlah sesiapa memungkiri janjinya. Dan hendaklah pertolongan diberikan kepada yang dizalimi. Dan sekiranya berlaku apa-apa kepada pihak yang menjalinkan perjanjian ini, maka tempat rujukan ialah kepada Allah dan Muhammad Rasulullah SAW…”

Hujah : Inilah sebesar-sebar hujah keharusan melakukan hubungan dengan non-muslim di dalam menegakkan negara Islam. Dan tidaklah menjadi dasar Islam mengenepikan kaum musyrikin daripada realiti kehidupan.

5. Perjanjian Rasulullah SAW dengan Bani Khaza’ah. Ia berlaku apabila baginda bersama para sahabat ingin memasuki kota Makkah untuk mengerjakan haji namun disekat oleh kaum Quraisy. Lalu Rasulullah SAW mengutuskan pengintip dari bani Khaza’ah yang merupakan seorang musyrik dan mereka melaporkan kepada Rasulullah SAW mengenai pergerakan kaum Quraisy. Bani Khaza’ah sebenarnya telah mempunyai hubungan dengan Bani Hasyim semenjak zaman jahiliyyah dan mereka meneruskan hubungan baik mereka dengan Bani Hasyim sekalipun berbeza akidah. Rasulullah SAW mengiktiraf hubungan ini dengan memberikan syarat iaitu pertolongan tidak akan diberikan kepada golongan yang zalim.

6. Perintah Rasulullah SAW kepada para sahabat agar berhijrah ke Habsyah semasa ditindas di Makkah untuk mendapatkan perlindungan dari Raja Najasyi yang merupakan seorang Nasrani pada masa itu turut merupakan dalil kepada keharusan untuk mendapatkan perlindungan dari orang yang bukan Islam di dalam menjaga kemaslahan umat Islam.


Jawapan Terhadap Golongan Yang Mengharamkan Tahaluf Siyasi

Di dalam memberikan jawapan kepada golongan ulama haraki yang mengharamkan tahaluf siyasi, beberapa pandangan telah dikemukakan. Antara lain :
1. Ayat yang digunakan iaitu dari surah al-Maidah, ayat 51-52 bukanlah merujuk kepada tahaluf siyasi tetapi merujuk kepada orang-orang munafik yang terus meletakkan kepatuhan kepada orang-orang Yahudi di Madinah. Ianya turun kepada ketua munafik iaitu Abdullah bin Ubai yang bertindak untuk menyokong kabilahnya Yahudi Bani Qainuqa’ di dalam berhadapan dengan Nabi Muhammad SAW. Ini menunjukkan bahawa ayat ini tiada kena mengena dengan tahaluf siyasi tetapi berkenaan dengan orang yang keluar langsung dari Harakah Islam untuk bekerjasama dengan musuh bagi melawan Islam.

2. Ayat 219 dari surah al-Baqarah pula bukan sahaja tidak menjadi hujah mengharamkan tahaluf siyasi bahkan menjadi peneguh kepadea keharusannya. Ini kerana daripada tahaluf siyasi yang dilaksanakan di beberapa buah negara seperti Mesir, Sudan dan Yaman, manfaat yang besar banyak diperolehi oleh kaum muslimin. Oleh yang demikian, di dalam masalah manfaat dan mudharat ini, pertimbangan berdasarkan senario semasa perlu diambil kira. Tahaluf Siyasi sebelum diputuskan hendaklah dipertimbangkan semasak-masaknya oleh pakar politik dan ahli-ahli strategi.


KESIMPULAN
Di dalam mendepani arus politik dunia pada hari ini, gerakan Islam perlulah bijak mengambil manfaat daripada ruang dan peluang yang ada. Tahaluf siyasi perlulah dilakukan dalam keadaan gerakan Islam mendapat keuntungan yang maksimum dalam usaha untuk menegakkan agama Allah SWT. Bagaimanapun, perlulah diingatkan agar penerangan demi penerangan hendaklah dilakukan dari masa ke semasa khususnya kepada masyarakat awam agar tidak terkeliru dengan langkah yang diambil.

Penyertaan gerakan Islam dalam mana-mana kerajaan seharusnya dilakukan dengen penelitian yang teliti terhadap senario politik setempat. Oleh yang demikian, pimpinan gerakan Islam perlulah sentiasa prihatin dan sensitif dengan perkembangan semasa serta kehendak masyarakat agar langkah yang diambil tidak menyebabkan kerugian di mereka nanti.


Maklumat Penulis:
Ahmad Fadhli bin Shaari
B.A (Hons) Dakwah Islamiyyah, Univ. Al-Azhar, Mesir.
Penulis merupakan Ketua Jabatan al-Dakwah wal Qiadah

Link Asal:  http://kias.edu.my/tahalufsiasi08.htm

Tahaluf Siyasi dalam Konteks Pilihanraya di Malaysia

Muqaddimah

Tahaluf ialah perjanjian persefahaman bagi menjalin kerjasama dan saling membantu untuk menghadapi lawan.

Persefahaman ini berlaku di kalangan sesama Islam seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dengan Aus dan Khazraj, yang membawa kepada penyatuan umat di bawah panji-panji dan tertegaknya negara Islam.

Hal ini juga berlaku dengan kumpulan bukan Islam seperti persefahaman dengan Bani Hasyim dan Bani Abdul Muttalib, yang berlaku sebelum peristiwa Hijrah dan persefahaman dengan Kabilah Khuza’ah selepas Perjanjian Hudaibiah.

Rasulullah s.a.w. mengiktiraf hil al-fudhul yang berlaku pada zaman jahiliah, apabila terbentuk satu persefahaman menentang kezaliman. Perkara ini terjadi setelah seorang dari kabilah Zubayd dizalimi oleh Aas bin Wa’il, lalu dia meminta pertolongan. Akan tetapi tiada siapa yang sanggup menolongnya. Lalu beberapa orang daripada bangsawan Mekah yang bersimpati dengannya telah mengadakan persefahaman di rumah Abdullah bin Jad’an, untuk menentang kezaliman tersebut.

Berhubung dengan peristiwa ini, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

عن طلحة بن عبد الله بن عوف الزهري يقول قال رسول الله صلى الله عليه وسلم لقد شهدت فى دار عبد الله بن جدعان حلفا ما أحب أن لي به حمر النعم ولو أدعى به في الإسلام لأجبت
Maksudnya:
“Daripada Talhah bin Ubaidillah bin ‘Auf al-Zuhri katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya saya telah menyaksikan di rumah Abdullah bin Jud’an satu pakatan, yang aku amat suka kepadanya seperti saying kepada seekor unta merah (barang yang sangat berharga). Kalau saya diajak kepadanya pada zaman Islam, nescaya saya akan menyahutnya.” (Riwayat Ibn Ishaq)

Oleh itu, tahaluf telah menjadi suatu perkara yang berlaku di dalam perjalanan Harakah Islamiah, menurut keperluan dan cabaran yang berlaku pada zaman masing-masing. Satu kajian yang mendalam perlu dibuat dan dibincangkan dengan teliti agar langkah yang diambil tidak bercanggah dengan prinsip Islam, yang mesti ditegaskan dalam semua keadaan.


Hukum Tahaluf

Tahaluf diizinkan oleh syariat berdasarkan kepada syarat-syaratnya. Untuk memahami syarat-syaratnya, hendaklah dikaji perbezaan di antara tahaluf yang dilangsungkan oleh Rasulullah s.a.w. dan tahaluf yang ditolaknya.

1. Syarat-syarat Tahaluf

1.1     Membawa maslahah dan tidak mengikat sehingga menjejaskan prinsip.

Dalil-dalilnya adalah:

i.    Hubungan Rasulullah s.a.w. dengan keluarga dari kalangan Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib, khasnya Abu Talib. Walaupun mereka tidak menganut Islam, tetapi mereka mempertahankan Rasulullah s.a.w. sehingga sanggup berkorban apa sahaja. Tetapi Abu Talib pernah membuat satu kenyataan seolah-olah supaya Rasulullah s.a.w. bertolah ansur dalam perkara prinsip. Lalu dengan tegasnya, Rasulullah s.a.w. bersabda:

يا عم، والله لو وضعوا الشمس في يميني، والقمر في يساري على أن أترك هذا الأمر حتى يظهره الله أو أهلك فيه ما تركته

Maksudnya:
“Wahai bapa saudara kesayanganku! Demi Allah! Kalau mereka meletakkan matahari di sebelah kananku dan bulan di sebelah kiriku, agar aku meninggalkan urusan ini (menegakkan Islam) nescaya aku tidak akan meninggalkannya, sehingga Allah memberi kemenangan kepada agama-Nya atau aku mati kerananya.” (Diriwayatkan oleh Ibn Ishaq)

Akhirnya Abu Talib dan keluarganya kecuali Abu Lahab, mengambil keputusan untuk mempertahankan Rasulullah s.a.w.

ii.    Hubungan Abu Bakar al-Siddiq r.a. dengan Ibn Daghinah yang bersedia untuk member perlindungan kepada beliau dibatalkan. Hal ini terjadi apabila Ibn Daghinah mensyaratkan kepada Abu Bakar r.a. supaya beliau tidak membaca al-Quran di luar rumah kerana bimbang boleh mempengaruhi orang lain kepada Islam.

Contoh maslahah yang diizinkan:

i.    Ke arah kedaulatan Islam dan perlaksanaan syariatnya:

Dalam situasi kegagalan ideologi-ideologi asing dan kebuntuannya menyelesaikan masalah, terdapat kumpulan orang-orang Islam yang jahil dan terjebak ke dalam ideologi bukan Islam dan kumpulan bukan Islam, yang memberi kesempatan kepada perlaksanaan Islam. Maka mestilah diadakan hubungan dengan mereka ke arah memberi sokongan kepada perjuangan kita dalam pilihanraya, dalam persidangan dewan rakyat dan sebagainya. Dengan syarat, mereka bersedia untuk menerima kepimpinan Islam, mengakui kedaulatan dan perlaksanaan syariat dengan sepenuhnya, dan kita tidak memaksa mereka menganut Islam tetapi mengambil peluang memperkenalkan Islam kepada mereka. Dalilnya ialah perjanjian Rasulullah s.a.w. di Madinah dengan orang-orang Yahudi.

ii.    Menentang kezaliman, penyelewengan dan keruntuhan moral:

Apabila perkara ini merupakan perkara-perkara yang dirasai kesan dan akibatnya kepada semua golongan, termasuk golongan bukan Islam, maka bolehlah diadakan persefahaman dalam perkara ini. Contohnya kerjasama di dalam usaha mendesak pembebasan tahanan dan sebagainya, kerana Rasulullah s.a.w. mengiktiraf hilf al-fudhul serta mengakui pakatan dan persefahaman golongan yang menentang perjanjian pemulauan ke atas keluarga Rasulullah s.a.w., walaupun mereka tidaklah sampai ke peringkat mengakui kedaulatan Islam. Rasulullah s.a.w. bersabda:
عن جابر قال اقتتل غلامان غلام من المهاجرين وغلام من الانصار فنادى المهاجر أو المهاجرون يا للمهاجرين ونادى الأنصاري يا للانصار فخرج رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال ما هذا دعوى أهل الجاهلية قالوا لا يا رسول الله إلا أن غلامين اقتتلا فكسع أحدهما الآخر قال فلا بأس ولينصر الرجل أخاه ظا لما أو مظلوما إن كان ظالما فلينهه فإنه له نصر وإن كان مظلوما فلينصره.

Maksudnya:
“Dari Jabir r.a. katanya: Dua orang anak muda, salah seorang daripadanya adalah dari kaum Muhajirin dan seorang lagi dari kaum Ansar, sedang bertengkar. Seorang dari kaum Muhajirin atau mungkin juga beberapa orang dari kaum Muhajirin berteriak: Wahai orang Muhajirin! Manakala kaum Ansar berteriak: Wahai kaum Ansar! Setelah mendengar suasana begitu, Rasulullah s.a.w. keluar dan bersabda: Ada apakah panggilan seperti jahiliah ini? Mereka menjawab: Tidak ada apa-apa, wahai Rasulullah s.a.w. Hanya ada dua orang anak muda sedang bertengkar. Salah seorang daripadanya berusaha memukul bahagian tubuh yang seorang lagi. Rasulullah s.a.w. bersabda: Kamu tidak perlu menyembunyikan persoalan ini. Seharusnya kamu menolong saudara kamu yang zalim ataupun yang dizalimi. Terhadap yang zalim, maka hendaklah kamu mencegah kezalimannya. Sesungguhnya itu beerti telah menolongnya. Manakala terhadap yang dizalimi hendaklah kamu membelanya.”
(Diriwayatkan oleh Muslim)


1.2     Mengakui kepimpinan Islam dan tidak menjejaskan matlamat perjuangan.

Dalil-dalilnya:

i.    Rasulullah s.a.w. telah menangguhkan tahaluf dengan Bani Syaiban apabila mereka tidak bersedia untuk bersama-sama menegakkan negara Islam dan mempertahankannya. Hal ini terjadi apabila Bani Syaiban menyatakan ketidaksanggupan untuk berhadapan dengan Parsi tetapi hanya sanggup menghadapi kabilah Arab sahaja.

ii.    Rasulullah s.a.w. membatalkan cadangan untuk bertahaluf dengan Bani ‘Amir apabila mereka mahu berkongsi jawatan kepimpinan negara tanpa menerima Islam.


1.3    Tidak berwala’ kepada musuh dan tidak redha dengan pegangan mereka.

Di antaranya ialah mengakui kepimpinan orang-orang bukan Islam dan bertahaluf dengan musuh-musuh Islam untuk memerangi orang-orang Islam.

Firman Allah SWT:
لا يتخذ المؤمنون الكافرين أولياء من دون المؤمنين ومن يفعل ذلك فليس من الله في شيء إلا أن تتقوا منهم تقاة ويحذركم الله نفسه وإلى الله المصير
Maksudnya:
“Janganlah orang-orang yang beriman berwalikan orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian, maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) daripada Allah dalam sesuatu apa pun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada keadaan yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diri-Nya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali.” (Ali Imran: 28)

‘Berwali’ maknanya menjadikan seseorang sebagai pemimpin, teman yang akrab, pelindung atau penolong. ‘Keadaan yang ditakuti’ adalah darurat. Kesetiaan dalam keadaan itu, dilahirkan secara zahir tetapi hatinya tidak redha. Di samping berusaha untuk membebaskan diri dengan merancang bagi meneruskan perjuangan dengan berhijrah dan sebagainya.


Muwada’ah

Di sana terdapat satu persefahaman untuk sementara waktu dengan golongan yang bermusuh di atas maslahah tertentu. Persefahaman ini dinamakan sebagai muwada’ah. Ada juga ulama’ yang meletakkannya dalam perkara hudnah (gencatan senjata). Disebut dalam kitab Syarah Muhazzab karangan Imam Nawawi bahawa di antara maslahahnya ialah mengharapkan mereka masuk Islam, atau membayar jizyah, atau menolong kerana memerangi golongan lain. Tetapi para ulama’ berselisih pendapat dalam menentukan tempoh masanya. Ada yang menghadkan setakat tempoh empat bulan sahaja. Ada yang mengharuskan tempoh masa itu menurut maslahah. Di antaranya ialah kerana pada masa itu orang-orang Islam masih berada dalam keadaan lemah. Adapun, jika tiada apa-apa maslahah atau mudaratnya lebih banyak daripada maslahah, maka persefahaman itu tidak diharuskan.


Isti’anah (meminta bantuan atau pertolongan)

Apabila terdapat persefahaman, maka berlakulah tolong-menolong iaitu sama ada mereka berjanji untuk menolong kita atau pun kita berjanji untuk menolong mereka.

1.    Mereka menolong kita:

Menurut Syeikh Sayid Sabiq di dalam bukunya Fiqhus-Sunnah adalah harus bagi kita untuk menerima pertolongan daripada golongan munafik dan fasiq, kerana Rasulullah s.a.w. pernah membenarkan Abdullah bin Ubay (seorang munafik) menyertai peperangan bersama-sama Baginda. Juga kisah penyertaan Abu Mahjan (seorang fasiq) yang mabuk, dalam peperangan menentang Parsi.

Adapun pertolongan daripada orang-orang kafir, terdapat khilaf di kalangan fuqaha’:

i.    Imam Malik dan Imam Ahmad tidak mengharuskannya secara mutlak.

ii.    Imam Abu Hanifah mengharuskannya dengan syarat orang-orang Islam yang menguasai urusan.

iii.    Imam Syafei mengharuskannya dengan bersyarat:
  1. Apabila orang-orang Islam berada dalam keadaan lemah.
  2. Apabila didapati orang-orang bukan Islam cenderung kepada Islam dan memandang baik terhadapnya, dibenarkan dia memberi pertolongan dengan diberi imbuhan dan bukannya ghanimah (harta rampasan perang).

2.    Kita menolong mereka:

Menurut al-Syarkashi di dalam kitabnya al-Mabsut dan al-Syaibani di dalam kitabnya al-Sayr al-Kabir, Rasulullah s.a.w. menghantar tamar ajwat kepada Abu Sufyan dan mengirim lima ratus dinar ke Mekah supaya dibahagikan kepada orang yang perlu dibantu ketika Mekah dilanda kemarau.

Menurut Ibn Qayyim al-Jawziyah di dalam kitabnya Zadul Ma’ad, apabila Thumamah bin Athal r.a., pemimpin Bani Hanifah memeluk Islam, beliau memerintahkan supaya jangan dihantar bekalan gandum ke Mekah sehingga penduduk Mekah berada dalam kesempitan hidup. Lalu pemimpin-pemimpin Mekah merayu kepada Rasulullah s.a.w. menasihatkan Thumamah agar menghentikan sekatannya.


Kesimpulannya

Tahaluf dapat dibahagikan menurut keadaan berikut:

1.    Dalam peringkat membentuk kerajaan hendaklah dengan syarat:
  1. Kepimpinan mestilah di tangan orang Islam.
  2. Mengiktiraf negara Islam.
  3. Menerima perlembagaan dan syariat Islam.
2.    Tahaluf tanpa membentuk negara:
  1. Kerana maslahah untuk menghadapi musuh yang lebih besar.
  2. Kerana maslahah bersama untuk menentang kezaliman, penyelewengan, membebaskan orang-orang tahanan dan sebagainya.
  3. Tidak terikat dengan syarat yang bercanggah dengan Islam dan kepentingan Harakah Islamiah.


Perhatian

Dalam situasi sekarang, hendaklah diberi perhatian kepada beberapa perkara yang boleh menjejaskan maslahah. Di antaranya ialah seperti berikut:
  1. Matlamat menegakkan negara Islam adalah sangat penting dalam strategi yang diambil oleh Harakah Islamiah. Oleh itu, jangan terikat dengan perjanjian yang akan menghalangnya atau syarat-syarat yang boleh mengikatnya.
  2. Mengutamakan perserfahaman dengan kumpulan-kumpulan Islam yang berpengaruh dan yang mempunyai titik pertemuan dengan perkara prinsip, yang boleh dipercayai. Bukannya yang lemah dan yang tidak berperanan. Kemudian itu, dengan kumpulan-kumpulan yang bukan Islam.
  3. Kita sedang berhadapan dengan masyarakat yang cetek kefahamannya terhadap Islam. Mereka tidak mengetahui perbezaan Islam dengan ideologi-ideologi moden. Oleh itu, golongan Islam hendaklah mempunyai syaksiah yang kuat, yang dapat membezakan mereka dengan parti-parti lain, dan perlu diberi kefahaman kepada mereka tentang perbezaan di antara Islam dan ideologi-ideologi moden. Kalau tidak, tahaluf dengan kumpulan bukan Islam lebih memberikan kesan negatif.
  4. Sekiranya persefahaman dengan kumpulan-kumpulan bukan Islam supaya menerima Islam, atau pada akhirnya akan berlaku juga pertarungan dengan mereka, maka ikatan-ikatan yang longgar perlulah dibuat agar ia tidak membelenggu kita di belakang hari.
  5. Mungkin akan terkeluar kenyataan-kenyataan bersama yang perlu dipertimbangkan dengan tegas dari aspek prinsip kita, kerana kenyataan-kenyataan itu bukan sahaja perlu mengikut selera kita tetapi juga menurut selera mereka.
  6. Perlulah berwaspada terhadap tipu-daya mereka dengan bergantung kepada Allah SWT dan kebijaksanaan kurniaan-Nya.

Penutup

Secara amnya, nas-nas yang dikaji menunjukkan tahaluf boleh berlaku dengan melibatkan gerakan menguasai sesebuah negara. Secara khususnya pula, ketika menghadapi isu-isu atau situasi-situasi yang khusus, dengan memenuhi syarat-syarat sepertimana yang disebutkan.

 Link Asal: http://dupnk.org.my/v1/index.php/kategori-politik/siasah-syar-iyyah/94-tahaluf-siyasi-dalam-konteks-pilihanraya-di-malaysia

Kewajipan Mengundi Mengikut Hukum Syarak



1. Menegakkan Pemerintahan Islam
Pemerintahan Islam itu adalah berbentuk ‘khilafah’ atau ‘imarah mukminin’ ataupun disebut juga sebagai ‘imamatul uzma’. Ia merupakan sebuah pemerintahan yang berteraskan kepada Syariah Islamiah sama ada dari aspek perlembagaan, undang-undang, ekonomi atau lain-lain.
Sebagaimana yang ditakrifkan oleh al-Mawardi (ahli undang-undang), Abu Ya’la (ahli undang-undang), Ibn Khaldun (ahli sosiologi), Imam Harmain al-Juwaini (ulama ilmu kalam), Imam al-Ghazali (ulama tasawuf), Ibn Hazm Andalusi (ulama fiqh) dan lain-lain iaitu:
خلافة عن النبوة في حراسة الدين وسياسة الدنيا به
Maksudnya:
Menggalang ganti kenabian dalam urusan menjaga agama dan mentadbirkan dunia dengannya.”

Pengertian ini dirumus berdasarkan kata-kata Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a. sesudah wafatnya Rasulullah s.a.w:
إن محمدا قد مات فلا بد لهاذ الدين ممن يقوم به
Maksudnya:
Sesunggunya Muhammad telah wafat, maka agama ini sudah pasti memerlukan orang yang menguruskannya.
Ucapan ini terus mendapat persetujuan dan sokongan padu dari kalangan para sahabat yang menghadiri perhimpunan Sakifah Bani Saadah yang berakhir dengan pencalonan beliau (Saidina Abu Bakar r.a.) sebagai khalifah yang menggantikan Rasulullah s.a.w.

2. Hukum Menegakkan Pemerintahan Islam
Terdapat ramai ulama yang membicarakan tentang pemerintahan Islam, ini menunjukkan bahawa perkara ini perlu diambil berat dan dibincangkan dengan serius. Antaranya ialah mereka yang disebutkan sebelum ini iaitu al-Mawardi (ahli undang-undang), Abu Ya’la (ahli undang-undang), Ibn Khaldun (ahli sosiologi), Imam Harmain al-Juwaini (ulama ilmu kalam), Imam al-Ghazali (ulama tasawuf), Ibn Hazm Andalusi (ulama fiqh) dan ramai lagi yang membicarakan tentang tajuk ini dalam penulisan mereka. Sebagai contoh kita ambil sahaja kata-kata al-Faqeh al-Makruf Ibn Hazm Andalusi:
Yang bermaksud:
Para ulama daripada ahli sunnah wal jamaah, al-Murji’ah, al-Syiah dan al-Khawarij bersatu pendapat dalam menyatakan bahawa menegakkan pemerintahan Islam itu adalah wajib, maka seluruh umat berkewajipan melakukan taat kepada imam yang adil yang menegakkan hukum-hakam Allah, yang mentadbir dan memerintah dengan syariat Allah sebagaimana yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Namun begitu terdapat satu puak daripada Khawarij yang digelar al-Najdat yang mengatakan bahawa tidak wajib menegakkan kerajaan yang seumpama itu. Walaubagaimanapun golongan mereka sudah tidak wujud lagi sekarang ini. Pendapat golongan ini ditolak oleh ijmak ulama yang telah disebutkan sebelum ini, lebih-lebih lagi apabila kita dapati al-Quran dan al-Sunnah turut menyatakan wajibnya menegakkan Islam sebagaimana yang dinyatakan dalam ‘al-Fasl fil malal wal Ahwa’ wa Nahl’.

3. Wajibnya Menegakkan Pemerintahan Islam Itu Berdasarkan Syara’ Dan Berdasarkan Kepada Akal.

Kita telah menegaskan bahawa menegakkan pemerintahan Islam itu adalah wajib. Apakah wajibnya itu berdasarkan syara’ atau berdasarkan akal atau kedua-duanya sekali?
Al-Mawardi, Abu Ya’la, Ibn Hazm dan Ibn Khaldun menyatakan bahawa syara’ dan akal sama-sama mewajibkan kita menegakkan pemerintahan Islam berdasarkan dalil-dalil al-Quran, Sunnah, Ijmak dan akal (logik).
Allah Ta’ala berfirman:
يا أيها الذين آمنوا أطيعوا الله وأطيعوا لرسول وأولي الأمر منكم
Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah SWT dan taatlah kamu kepada Rasul serta pemimpin-pemimpin dari kalangan kamu.
Ayat ini bermaksud difardhukan kita mentaati Allah, Rasul dan ulil amr yang memerintah kita.
Rasulullah s.a.w. antara lainnya ada bersabda:
سيليكم بعدي ولاة فيليكم البر ببرة والفاجر بفجوره فاسمعوا لهم وأطيعوا فيما وافق الحق وصلوا وراءهم فإن أحسنوا فلكم ولهم وإن أساءوا فلكم وعليهم.
(رواه الدارقطني)
Maksudnya:
Selepas aku, kamu akan dipimpin oleh banyak pimpinan, maka yang baik memimpin kamu dengan kebaikan dan yang zalim pula memimpin kamu dengan kezaliman, maka dengar dan taatilah kamu dalam perkara yang menepati kebenaran, maka jika mereka berbuat baik maka kebaikan itu untuk mereka dan jika mereka berbuat jahat maka kejahatan itu terkena ke atas diri mereka sedang kamu terus mendapat kebaikan.” (Riwayat Daru Qatni)
Selain dari al-Quran dan Sunnah, para sahabat dan tabiin telah sebulat suara mengatakan wajibnya menegakkan pemerintahan yang serupa itu (pemerintahan Islam). Para ulama yang disebutkan sebelum ini pula telah memutuskan secara ijmak tentang wajibnya, sementara dari segi logik, manusia itu tidak boleh hidup dalam keadaan porak-poranda tanpa tanzim, maka setiap tanzim perlu sama ada persetujuan kepada pencalonan yang kita sebutkan di atas nama bai’ah amah atau syahadah, setiap umat Islam yang akil baligh diwajibkan menyertainya.
Atas nama bai’ah ianya wajib berdasarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w.:
ومن مات وليس فى عنقه بيعة مات ميتة جاهلية
(رواه مسلم)
Maksudnya:
Sesiapa yang mati yang tidak pernah melakukan bai’ah nescaya matinya itu dalam keadaan jahiliyah.” (Riwayat Muslim)
Antara lafaz bai’ah itu ialah:
أبايعك على أن تقيم فينا كتاب الله وسنة نبيه
Maksudnya:
Aku memberikan bai’ahku kepada kamu dengan syarat kamu menegakkan ke atas kami kitab Allah SWT dan sunnah Rasul-Nya s.a.w.
Adapun atas nama syahadah ianya wajib kerana antara lainnya bersandarkan kepada firman Allah Taala:
وأشهدوا ذوي عدل منكم
Maksudnya:
Dan hendaklah kamu persaksikan dua orang yang adil dari kalangan kamu.

وأقيموا الشهادة لله
Maksudnya:
Dan hendaklah kamu tegakkan syahadah semata-mata kerana Allah.” (Al-Talak: 2)
Diawasi oleh pihak yang berkuasa, maka yang berkuasa di dalam sesebuah negara ialah pemerintah. Rasulullah s.a.w. bersabda:
إذا خرج ثلاثة فى سفر فليؤمروا أحدهم
(رواه أبو داود)

Maksudnya:
Jika tiga orang berada di dalam pelayaran, maka hendaklah mereka melantik seorang ketua.” (Diriwayatkan Abu Daud)
Hadith ini menunjukkan bahawa nabi mewajibkan perlantikan ketua dalam perlantikan yang kecil, maka apatah lagi kumpulan yang lebih besar dan terbesar seperti yang wujud pada hari ini.

4. Cara-Cara Menegakkan Pemerintahan Islam
Sebelum ini kita menyatakan bahawa pemerintahan Islam itu berbentuk khilafah. Pembentukannya dilakukan melalui perlantikan pemimpin tertinggi iaitu khalifah dan khalifah pula akan melantik pembantu-pembantunya sama ada ahli syura, jemaah menteri dan lain-lain.
Dalam keadaan biasa, perlantikan khalifah itu berlaku melalui tiga peringkat iaitu pencalonan, penapisan calon dan pungutan suara rakyat yang berhak bersuara. Cara ini dikenali dengan bai’ah amah. Hal ini dipetik dari peristiwa perlantikan Saidina Abu Bakar al-Siddiq, di mana beliau dicalonkan dan disahkan pencalonannya di dalam perhimpunan di Thaqifah Bani Saadah. Kemudian selepas itu dilakukan bai’ah amah di Masjid Nabawi. Bai’ah Ammah itu yang kadang kala dipanggil pungutan suara ramai (استفتاء عام) dan kadangkala disebut dengan nama al-syahadah iaitu para saksi yang juga dipanggil pengundi, adalah bertujuan memberikan penapisan dan pengesahan bahawa calon itu layak dan memiliki syarat-syarat yang dikehendaki oleh Islam.

5. Kewajipan Umat Di Dalam Menegakkan Pemerintahan Islam
ولا يأب الشهداء إذا ما دعوا
Maksudnya:
Dan janganlah para saksi itu enggan apabila mereka dipanggil.” (al-Baqarah: 282)

ولا تكتموا الشهادة ومن يكتمها فإنه آثم قلبه
Maksudnya:
Dan janganlah kamu menyembunyikan syahadah dan sesiapa yang menyembunyikannya maka sesungguhnya berdosalah hatinya.” (al-Baqarah: 283)

Oleh kerana itu para pengundi haruslah mempunyai syarat-syarat yang dihendaki pada saksi iaitu antara lainnya bersifat adil. Mereka seharusnya memberikan persetujuan atau sokongan kepada seseorang calon itu hanya berdasarkan kelayakan dan matlamat pencalonan seperti mana diperkatakan:

أبايعك على أن تقيم فينا كتاب الله وسنة نبيه 
Maksudnya:
Aku memberikan bai’ahku kepada kamu dengan syarat kamu menegakkan ke atas kami kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya s.a.w.

6. Mendaftar Diri Sebagai Pemilih
Sayugia diingatkan bahawa menegakkan pemerintahan Islam di Malaysia perlu melalui beberapa proses yang di antara lainnya mendapat suara majority di dalam Dewan Rakyat atau di Dewan Undangan Negeri. Untuk mendapat suarau majority di Dewan Rakyat atau di Dewan Undangan Negeri, sesebuah parti itu mestilah memenangi kerusi-kerusi terbanyak di dewan-dewan tersebut. Untuk memenangi kerusi-kerusi yang dipertandingkan dalam pilihanraya, mestilah perlu mendapat sokongan pengundi yang lebih ramai (majority). Undi yang serupa itu tidak akan diperolehi kecuali para pencinta Islam layak menjadi pengundi dan mereka tidak akan layak mengundi (mengikut peraturan yang ada) kecuali mereka didaftarkan sebagai pemilih. Oleh kerana itu, berdasarkan kepada fakta-fakta yang telah kita bincangkan di atas dan berdasarkan kaedah fiqh:

ما لا يتم الواجب ألا به فهو واجب
Maksudnya:
Sesuatu itu tidak sempurna yang wajib melainkan dengannay maka ia menjadi wajib.

Maka dengan itu, mendaftarkan diri sebagai pengundi di dalam negara Malaysia ini adalah menjadi wajib mengikut hukum syarak.

7. Kesimpulan Dan Penutup
Semua mengetahui dan memperakui bahawa melaksanakan hukum syarak itu adalah wajib. Ia tidak boleh dilaksanakan kecuali wujudnya kerajaan Islam. Maka mewujudkan kerajaan Islam adalah wajib.
Dalam konteks di negara kita Malaysia, menyertai pilihanraya adalah wajib berdalilkan hujah-hujah yang dibincangkan tadi. Maka kita berseru kepada semua pencinta Islam supaya setiap langkah yang memungkinkan ke arah tertegaknya sebuah pemerintahan yang mendaulatkan konsep حاكمية الله dilaksanakan dengan sempurna, manakala tugas-tugas sampingan yang lain pun menjadi perlu dan penting juga berdasarkan kaedah fiqh di atas iaitu:

ما لا يتم الواجب ألا به فهو واجب

Maksudnya:
Sesuatu itu tidak sempurna yang wajib melainkan dengannay maka ia menjadi wajib.

Kesemua ini memberi erti bahawa perlu dan pentingnya bagi setiap pencinta, penyokong dan pendokong Islam menyiapkan diri dan bekerja bersungguh-sungguh dalam suatu organisasi yang tersusun rapi di mana setiap anggota memainkan peranan masing-masing sesuai dengan kebolehannya serta tanggungjawab yang diamanahkan bermula dari sekecil-kecil tugas seperti menampal poster sehinggalah ke sebesar-besar tanggungjawab seperti menjadi calon demi untuk memungkinkan golongan Islam dapat merampas tapak pemerintahan yang sememangnya diamanahkan oleh Allah Ta’ala kepada pejuang-pejuang Islam tulen.


Link Asal:  http://dupnk.org.my/v1/index.php/kategori-politik/siasah-syar-iyyah/93-kewajipan-mengundi-mengikut-hukum-syarak

Etika Politik Islam Dalam Tafsir Surah Al Saff


Tulisan ini merupakan tafsiran Surah al Saff, sebuah imbasan daripada karangan as Syahid Syed Qutb rahimahuLlah yang berjudul, 'Tafsir Fi Dzilal Al Quran', sebuah tafsiran yang ditulisnya ketika beliau berada di jerjak penjara. Surah al Saff bertujuan memacak dua asas yang begitu jelas disebut di samping isyarat-isyarat lain yang turut disentuh sekitarnya. Iaitu :
  • Bertujuan memacakkan keyakinan di dalam diri setiap Muslim bahawa agama Islam adalah satu agama dan manhaj Ilahi yang terakhir untuk manusia. Ia pula telah didahului sebelumnya oleh beberapa bentuk manhaj yang bersesuaian dengan tahap-tahap perkembangan sejarah dan pengalaman kehidupan manusia yang dapat membina asas yang teguh untuk agama terakhir ini. Justeru surah ini telah menyebut tentang risalah Nabi Musa A.S dan Nabi Isa A.s bersama kaumnya yang menyakiti dan menyeleweng daripadanya yang menamatkan kelayakan mereka sebagai pemegang amanah risalah Allah di muka bumi ini. Takdir Allah menentukan bahawa perjalanan risalah-Nya sepanjang zaman akhirnya berhenti dan terbina teguh di tangan Nabi Muhammad yang mulia.
  • Di atas asas yang pertama ini, terbina pula asas kedua yang ditekankan oleh surah ini iaitu terbentuknya rasa tanggung jawab dan taklif yang berat yang perlu dipikul oleh umat Islam yang menerima amanah agung tersebut daripada umat-umat yang terdahulu. Ia lantas mendorong mereka untuk memasang niat yang benar dan ikhlas kepada perjuangan menegakkan amanah ini. Ia tidak ragu-ragu lagi bahkan menempelak sikap nifaq di dalam perjuangan.
Inilah dua asas utama yang merangkum segala isi di dalam surah al Saff. Ia termasuklah kecaman terhadap golongan yang menentang agama terakhir ini yang berusaha bermatian untuk memadamkan cahayanya. Maka adalah jelas di sisi seorang Muslim bahawa agamanya adalah agama Allah yang terakhir. Dia terbeban dengan amanah besar ini. Dia diwajibkan berjihad demi agamanya itu. Dia bahkan, tidak boleh teragak-agak lagi. Akhlaknya adalah benar dan ikhlas. Tidak boleh berkata apa yang dia sendiri tidak buat. Kata dan perbuatannya adalah sama. Zahir dan batinnya adalah sama. Dirinya adalah dirinya sepanjang masa tanpa nifaq dan ragu-ragu. Dia konsisten dalam perjuangan dan keikhlasannya. Itulah akhlak yang agung.

Surah al Saff yang isi besarnya adalah bertujuan memperteguhkan konsep amanah agung yang dibebankan ke atas umat Islam ini telah dimulai dengan perkhabaran tentang kumat-kamit tasbih dan kalimat-kalimat pujian dan penyucian oleh seluruh makhluk Allah di langit dan bumi terhadapNya daripada sebarang kekurangan. Ia adalah satu isyarat yang mengilhamkan rasa kebersamaan di sisi umat Islam bahawa risalah Islam yang dipikulnya itu adalah satu amanah kewujudan seluruhnya. Ia adalah satu perjuangan menegakkan akidah isi alam seluruhnya dan kemenangannya adalah kemenangan buat seluruh alam yang tunduk dan menuju kepada Allah, Tuhan sekalian alam.

Kemudian Allah terus mengutuk keras terhadap satu kejadian yang berlaku di kalangan satu kelompok umat Islam yang dibenci-Nya iaitu kejadian menolak untuk melakukan perkara yang mereka katakan. Mengikut satu riwayat oleh Ali bin Talhah daripada Ibnu Abbas bahawa segolongan orang beriman sebelum diturunkan kefardhuan berjihad telah berangan-angan dan berkata, jikalah Allah tunjukkan kepada mereka sebaik-baik amalan lalu mereka akan segera beramal dengannya.Allah lalu mengkhabarkan Nabi-Nya bahawa amal yang terbaik adalah beriman dengan-Nya tanpa ragu-ragu dan berjihad menentang musuh-Nya. Tatkala diturunkan ayat jihad, segolongan mereka menjadi keberatan dan membencinya. Allah memurkai sikap mereka lalu menurunkan ayat di atas.

Ayat ini walaupun diturunkan di dalam isu jihad, tetapi ia bukan khusus bertumpu kepada semata-mata soal jihad, bahkan ia meluas dan merangkum ke semua aspek dan lapangan kerja umat Islam bahawa Allah membenci dan memurkai sifat munafik yang merosakkan binaan peribadi muslim yang mulia iaitu sifat benar di dalam akhlak dan tingkah lakunya dan sentiasa sama di antara luar dan dalamnya.Justeru ayat pertama bermula dengan kecaman terhadap satu sikap yang keji iaitu berkata-kata terhadap perkara yang tidak dilakukan. Ayat kedua kemudiannya menambahkan kepanasan kecaman itu dengan membayangkan kemurkaan-Nya dengan kalimah 'al maqt' yang bermaksud kemarahan yang melampau.

Ayat seterusnya merujuk kepada kejadian asal yang dimurkai iaitu perihal menolak jihad di jalan Allah. Ada tiga kesinambungan yang disebutkan di dalam ayat perang itu. Ia bukan hanya perang, bahkan hendaklah di jalan Allah. Ia pula hendaklah dalam satu saf dan jamaah. Ia juga mestilah teguh, penuh konsisten dan istiqamah. Tiga ikatan yang bersambungan inilah yang dimaksudkan dengan jihad yang disukai oleh Allah.

Islam Membina Umat

Sesungguhnya Al Quran datang untuk membina satu umat. Ia dibina untuk memikul amanat ugamanya di muka bumi. Justeru ia membina peribadi dan peribadi itu dibina di dalam jamaah. Pembinaan itu pula berlaku secara amalan dan praktikal dalam satu masa. Maka Islam tidak tergambar kecuali di dalam satu ruang himpunan yang tersusun, memiliki ikatan, peraturan dan tujuan iaitu membina manhaj Ilahi di dalam diri dan masyarakat di muka bumi. Ia membina sebuah masyarakat yang hidup, bergerak, bekerja dan menghasil produk kehidupan yang membangunkan muka bumi di dalam hudud dan lingkungan manhaj Ilahi.

Islam, di sebalik kesungguhannya membina peribadi, bukanlah agama untuk golongan yang suka menyendiri dan lari daripada masyarakatnya. Sebaliknya, Islam datang untuk mentadbir kehidupan dan menguruskannya. Maka pembinaan Islam terhadap diri dan peribadi adalah menumpu kepada asas bahawa mereka mesti hidup di dalam masyarakat dan bersama masyarakat menuju Allah dan manhaj-Nya.

Itulah pembinaan di hari pertama dakwah al Rasul bermula. Ia membina sebuah jamaah sahabat yang dipimpin oleh ketaatan dan kepatuhan kepada ketua dan akhlak jamaah. Ia terbina lebih awal sebelum terbinanya negara Islam di kota Madinah, bahkan ia menjadi wasilah ke arah pembinaan negara Islam yang pertama itu.

Tiga Pemerhatian

Ada tiga pemerhatian yang perlu diketengahkan daripada ayat ketiga yang menyebut mengenai al jihad; Perihal diri manusia yang kadang-kadang dilanda saat-saat kelemahan. Tiada yang dapat menyelamatkannya selain pertolongan Allah melalui tazkirah, taujihat dan tarbiyah yang berterusan.
  • Pemerhatian Pertama
Mengikut riwayat, mereka adalah segolongan Muhajirin yang berangan-angan jikalau Allah memfardhukan jihad perang semasa awal dakwah di kota Makkah, pasti mereka akan menyahutnya. Tetapi sebaik Allah menurunkan kefardhuan jihad, sebahagian mereka berundur ke belakang. Atau, mereka adalah golongan Ansar yang berangan untuk mengetahui dan melakukan sebaik-baik amalan. Tetapi apabila dikhabarkan bahawa ia adalah jihad, sebahagian mereka membencinya pula.

Mereka adalah Para Sahabat yang di sebalik kekuatan, turut terserlah kelemahan diri. Justeru adalah jelas keperluan memahami diri dan kelemahannya agar difahami betapa pentingnya pemerkasaan, pengukuhan, taujihat dan tarbiyah yang berterusan terhadap diri. Perihal kesukaan Allah terhadap hamba-hambaNya yang berjuang secara berjamaah di jalanNya. Arahan ini bagaikan satu penawar untuk mencergaskan diri orang Mukmin untuk mara berjihad tanpa rasa lemah dan malas.
  • Pemerhatian Kedua
Sesungguhnya Islam tidak menyukai perang tetapi ia tetap mem-fardhukannya kerana keadaan yang memaksanya dan matlamat kedatangannya yang agung. Dakwah ini walaupun serasi dan menyambut segala keperluan dan kehendak fitrah kemanusiaan yang sejahtera, tetapi ia memerlukan kekuatan yang hebat untuk diterima diri manusia yang terpaksa bertembung dan berlawan dengan kelemahan dan kejahilan diri di samping kedegilan untuk terus mengekalkan adat dan warisan lama yang sesat.

Ia turut pula berhadapan kekuatan musuh yang berhimpun untuk menentangnya demi mempertahankan kelebihan-kelebihan yang dimiliki hasil kemenangan jahiliyah di dalam kehidupan yang menolak agama dan fitrah. Justeru amat jelas betapa gerombolan iman memerlukan kekuatan yang akan menjaga dan mengawalnya daripada serangan, bahkan mengalahkan tentera jahiliyah tersebut. Bahkan jelas sekali, di saat tiada lagi wasilah selain perang, maka jihad adalah kefardhuan yang tidak boleh dinafikan lagi haknya.

  • Pemerhatian Ketiga
Perihal keadaan jihad yang disukai Allah iaitu dalam keadaan tersusun dan bersaf bagaikan sebuah bangunan yang teguh. Ia adalah kewajiban fardhiah dalam bentuk jama'ie dalam jamaah yang tersusun. Ini kerana musuh yang memerangi Islam bergerak dalam kekuatan jamaah. Maka begitulah kekuatan Islam mestilah kekuatan yang sama dan menandingi kekuatan musuh. Kemudian, tabiat agama juga menuntut kemenangan secara jama'ie kerana ia membina masyarakat dalam proses pemerintahan jamaie dan tunduk kepadanya. Islam tidak terbina di atas kekuatan individu dan pemerintahan individu. Ia adalah gambaran yang jauh daripada tabiat agama Islam.

Tasawwur yang tergambar daripada sebuah binaan yang teguh yang di-tamsilkan oleh ayat ini melukiskan untuk umat Islam gambaran tabiat agama mereka, menerangkan batu tanda perjalanan dan tuntutan kesatuan dan kerja sama yang perlu diterapkan oleh mereka di dalam kehidupan Islami. Mereka mestilah sering meneguhkan, menampal kecacatan dan menyempurnakan binaan.

"Dan (ingatlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: Wahai kaumku! Mengapa kamu menyakiti daku, sedang kamu mengetahui bahawa sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu? Maka ketika mereka menyeleweng (dari kebenaran yang mereka sedia mengetahuinya), Allah selewengkan hati mereka (dari mendapat hidayah petunjuk); dan sememangnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik – derhaka"

"Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: Wahai Bani Israel, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku – bernama: Ahmad. Maka ketika ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: Ini ialah sihir yang jelas nyata!"

Dua ayat ini menggambarkan kisah dan peringkat perjalanan manhaj Ilahi yang penuh onak di dalam risalah-risalah sebelum kedatangan Islam sebagai manhaj Ilahi yang terakhir.

Pengkhianatan Bani Israel terhadap Nabi Musa AS adalah pelbagai dan berpanjangan. Jihad Baginda pula di dalam membetulkan dan memimpin mereka adalah sebuah jihad yang begitu sukar dan memenatkan. Kisah-kisah Bani Israel yang berupa pengkhiatan yang pelbagai dan jihad yang sukar itu disebut begitu banyak di dalam Al Quran. Sila baca sejarah mereka di dalam al Quran.

Ayat di atas menyebut mengenai kata-kata kecaman Nabi Musa terhadap tindakan mereka, tetapi dalam nada penuh kelembutan. Malangnya, di sebalik segala usaha dan cara yang dikorbankan demi umatnya, Bani Israel terus menyeleweng. Lalu Allah menambahkan lagi penyelewengan mereka. Hati mereka diselewengkan sehingga tidak lagi layak untuk memikul amanah ugama ini dek kesesatan mereka yang nyata. Maka berakhirlah peranan agung mereka di muka bumi.

Kemudian datang pula Nabi Isa AS dengan perkhabaran bahawa baginda adalah utusan Allah, bukan tuhan atau anak tuhan dan bukan satu dalam tiga. Ia manhaj Ilahi yang membenarkan ajaran Nabi Musa dan membawa khabar gembira mengenai kelahiran rasul agung yang akan datang selepasnya bernama Ahmad.

Ia satu bentuk yang melukiskan talian dakwah Ilahi yang saling mengikat dan serah menyerah amanat itu dari satu risalah kepada risalah yang datang selepasnya. Ia manhaj Ilahi yang satu pada asasnya dan pelbagai pada bentuknya berdasarkan persediaan dan pengalaman manusia di zamannya yang berkembang sehingga akalnya menjadi masak dan matang untuk sebuah syariat dan manhaj Allah yang sempurna.

Perkhabaran gembira oleh Nabi Isa terhadap kedatangan Nabi Muhammad adalah thabit dan pasti melalui nas Al Quran ini. Ia tidak terikat dan merujuk kepada versi kitab-kitab Injil yang berada di tangan penganut Kristian hari ini samada wujud sebutan mengenai kedatangannya atau tidak. Ini kerana sejarah penulisan kitab Injil yang penuh kekeliruan itu tidak melayakkannya untuk menjadi rujukan dan pemutus di dalam urusan ini. Al Quran pula, ketuanannya sebagai risalah Allah yang asli adalah jelas dan tiada syak lagi. Justeru segala isinya adalah benar.

"Dan tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah, sedang ia diajak kepada memeluk Islam; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim."

"Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)."


"Dia lah yang telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad S.A.W) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya"
Tampak daripada kehadiran ayat-ayat di atas selepas sebutan kisah Bani Israel bahawa ianya ditumpukan kepada mereka yang menunggu, tetapi kemudiannya menolak secara keras berita gembira kedatangan Rasul akhir zaman di samping penentangan dan tipu daya berterusan mereka demi menyekat perkembangan dakwah Islam.

Bani Israel telah membina sikap memusuhi dakwah baru ini dengan merancang segala usaha jahat dan memeranginya dengan pelbagai cara. Ia terus berlangsung sejak awal kisah dakwah sehinggalah hari ini tanpa pernah berhenti walau seketika. Mereka menuduhnya sebagai perbuatan sihir yang nyata, tuduhan yang sama dilakukan oleh golongan musyrikin tidak berkitab di kota Makkah.

Mereka memeranginya dengan menanam bibit-bibit fitnah dan percakaran sesama sendiri di dalam kem tentera Muslimin di Madinah. Mereka bekerja sama dengan golongan munafiqin, bahkan dengan golongan musyrikin juga dengan mengkhianati janji dan menyertai tentera musyrikin yang datang memerangi negara mereka sendiri sebagaimana berlaku di dalam perang Ahzab.

Mereka mencetuskan dan menyebarkan fitnah ke atas isteri Rasulullah SAW di tangan Abdullah bin Ubai, ke atas Saidina Uthman di tangan Abdullah bin Saba' dan terus menerus memerangi umat Islam dengan cerita-cerita Israeliyatyang dimasukkan ke dalam sumber utama umat Islam. Ia terus berlangsung sehingga abad akhir kini. Gerakan Zionis dan kristianisasi antarabangsa bersatu melakukan tipu daya memerangi Islam. Di Timur, tercetus perang salib yang panjang manakala di Barat mereka memeranginya di Andalus dan akhirnya mereka masuk ke tengah dan menghancurkan kerajaan khilafah yang terakhir di Turki.

Mereka kemudiannay melakukan tuduhan bahawa al Rasul dan dakwahnya adalah sihir. Mereka lalu berusaha keras menikam dan melakukan segala tipu daya untuk membunuh agama Islam dan memadamkan cahayanya. Alangkah memalukan dan alangkah lemahnya mereka di hadapan sebuah agama yang Allah-lah pemiliknya dan penyempurna kepada kesudahannya yang agung. Benarlah janji Allah. Dia menyempurnakan agamaNya di dalam hayat Baginda SAW. Dia membina sebuah jamaah Muslimah yang begitu sempurna yang menayangkan satu gambaran masyarakat agung yang jelas dan hidup untuk generasi selepasnya.

Dia menyempurnakan agama-Nya dan nikmat-Nya ke atas umat Islam. Mereka mencintainya, berjuang di jalannya dan setiap mereka lebih rela dicampak ke dalam api yang panas demi mempertahan dan menikmati keagungan agama-Nya itu. Bagaimanakah digambarkan cahaya Allah mampu dihembus mati oleh hembusan dari mulut-mulut manusia?

Terjadilah takdir dan ketentuan Allah Yang Maha Agung bahawa agama Islam akhirnya memperolehi kemenangan di atas muka bumi ini. Persaksian Allah adalah jelas bahawa agama ini adalah petunjuk dan agama yang benar (al huda dan din al haq). Ia adalah kata putus. Ia hujah sepanjang zaman yang menolak seluruh agama lain ke hujung yang kelam.

Agama-agama langit telah diselewengkan dan jika ada secalit yang kekal, maka ia sudah tidak sesuai lagi untuk memandu kehidupan manusia baru yang telah mencapai puncak kematangan. Ia syariat lama yang telah dihakis masanya untuk berperanan.

Ada pun agama-agama berhala yang lain, Islam datang dengan hujah keesaan Allah yang cukup jelas bagai sinaran suria yang menerangi.Adapun secara realitinya pula, telah jelas penyempurnaan Allah terhadap agama dengan kemenangan-kemenangan yang dicapai oleh agamaNya sehingga terus tersebar ke serata alam samada melalui jihad di tanah yang keras atau melalui dakwah yang aman di tanah yang lembut.Bahkan melalui dakwah aman di sebelah Timur, Islam telah dianuti oleh penduduknya berganda-ganda berbanding jumlah penganutnya pada jihadnya yang pertama.

Ayat-ayat di atas hakikatnya telah menjadi pendorong utama kepada umat Islam sepanjang zaman untuk terus memikul amanah yang telah gagal disempurnakan oleh Yahudi dan Nasrani. Ia membina ketenangan dengan janji daripada Allah. Tiadalah mereka selain menjadi alat kepada janji Allah Yang Maha Esa.

"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?"

"Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)"

"(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga Adn. Itulah kemenangan yang besar"


"Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman"

"Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)? Mereka menjawab: Kamilah pembela-pembela (agama) Allah! (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israel beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang"

Di bawah lembayung kisah akidah dan pertentangannya yang berterusan dengan musuh, Al Quran bergema dengan seruan indah ke atas seluruh orang yang beriman kepada satu perniagaan paling menguntungkan di dunia dan akhirat iaitu perniagaan iman kepada Allah dan berjihad di jalan-Nya. Dengan pelbagai keindahan bentuk dan lenggok bahasa yang digunakan, ia jelas bertujuan menetapkan satu seruan yang mesti disahut oleh orang-orang yang beriman. Ia bermula dengan seruan khusus terhadap orang-orang beriman dan disusuli dengan tawaran dalam nada pertanyaan daripada Allah sendiri yang mendorong mereka untuk menyahut seruan itu.

Siapakah yang tidak merindui seruan daripada Allah yang menunjuki kepada sebuah perniagaan yang paling menguntungkan?Kemudian, pertanyaan yang begitu diharapkan jawaban segera itu lantas diperolehi tanpa lengah-lengah, saat seluruh pendengaran orang-orang yang beriman tertumpu kepadanya.

"...Kamu beriman kepada Allah dan RasulNya". Itu debaran pertama dan sesungguhnya mereka telah beriman kepada Allah dan RasulNya itu.

Kemudian debaran kedua yang menjadi topik segera menyusul, "...Dan kamu berjihad di jalan Allah dengan harta dan diri kamu". Kalimah Allah diulang-ulang agar hati mereka menjadi segar dengan janji tuhan yang agung. Kemudian diikuti dengan janji keelokan dan kebaikan, "...Itu adalah lebih baik untuk kamu jika sekiranya kamu mengetahui".

Allah lalu menambahkan kejelasan maksud kebaikan yang dijanjikan itu. "Dia mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurgaNya yang mengalir...". Sesungguhnya ia adalah benar-benar satu perniagaan yang paling menguntungkan. Hayat yang pendek di dunia ini digantikan dengan kehidupan mewah yang abadi di akhirat nanti.

Tetapi kelebihan Allah amat besar. Dia maha mengetahui bahawa jiwa manusia itu lebih melekat kepada janji yang lebih dekat. Allah lalu menyahut keinginan hambaNya dengan janji yang lebih dekat, iaitu pertolongan daripadaNya dan kemenangan agamaNya yang dekat di dunia ini.

Di sini keuntungan perniagaan mencapai kemuncaknya. Ia hanya mampu datang daripada Allah yang takkan kering khazanahNya yang luas.Sesungguhnya manusia yang beriman yang memahami hakikat iman kepada Allah dan hidup dengan hatinya yang segar, kemudian dia melihat kepada sempitnya dunia dan ajal umurnya sudah pasti tidak mampu hidup walau sesaat tanpa iman yang agung ini. Ia tidak mungkin lagi ragu-ragu untuk berjihad di jalan demi menegakkan akidahnya itu dan menanti janji agung Tuhannya.

Tetapi Allah Maha Mengetahui bahawa jiwa itu kadang-kadang dirundung rasa lemah dan lelah. Semangat boleh menjunam dan rasa ingin selamat kadang-kadang mendorong diri untuk berpuas hati dengan realiti kelemahan yang ada. Justeru Allah menyudahkan surah ini dengan satu seruan baru yang membawa kepada rasa yang baru, tolakan yang baru dan isyarat yang baru.

"Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu pembantu Allah sebagaimana golongan Hawariyyun...", Hawariyyun adalah murid-murid kepada Nabi Isa A.S. Di mana lagi tempat yang lebih tinggi berbanding kedudukan sebagai pembantu Allah?

Inilah janji yang lebih tinggi daripada janji syurga dan kenikmatannya. Jadilah pembantu Allah. Perolehilah kemuliaan besar ini. Pengajaran adalah jelas bahawa seruan di dalam ayat di atas adalah demi membangkitkan jiwa orang-orang yang beriman dengan Allah yang diamanahkan untuk memikul beban dakwah ini agar terus bersedia dan siap siaga di dalam menolong Allah dan agama-Nya.

Pusingan akhir ini turut berakhir dengan janji kemenangan dan sokongan Allah terhadap mereka yang menyahut seruan iman ke atas musuh mereka. Kemenangan akhirnya adalah menjadi milik pembantu Allah yang beriman.



Ustaz Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM).

Link Asal:  http://www.tarbawi.my/2013/02/etika-politik-islam-dalam-tafsir-surah.html

Wednesday, 27 March 2013

Isu Hudud di Malaysia

Isu hudud yang menjadi topik perbincangan hangat di Malaysia baru-baru ini masih berterusan dan semakin mendapat perhatian apabila ia melibatkan parti-parti politik di Tanah Air sama ada pihak kerajaan atau pembangkang serta masyarakat muslim dan non-Muslim. Hal ini bermula dengan kenyataan " tok guru " di sebuah pondok iaitu Abdullah Sa'amah yang mengeluarkan kenyataan bahawa " haram bagi umat Islam di Malaysia memberikan undi kepada parti DAP " sehingga menjadi isu dan tercetus isu hudud sebagaimana yang terus diperbincangkan sehingga ke hari ini.

MANHAL PMRAM melihat isu ini yang bermain di media memberikan kesan positif dan negatif bergantung kepada jawapan dan olahan yang diberikan oleh pihak-pihak terbabit. Isu yang hangat diperkatakan ini dilihat sebagai peluang dalam menyebarkan penerangan dakwah kepada masyarakat muslim yang masih kabur serta non-Muslim mengenai konsep perlaksanaan hudud serta keadilan yang terdapat dalam hukum jenayah Islam.
 
Namun begitu, isu ini juga dilihat sebagai peluru oleh sesetengah pihak dalam memberikan gambaran yang salah kepada non-Muslim terutamanya sehingga boleh menyebabkan penerimaan mereka terhadap Islam semakin berkurangan.
 
Walau apa pun, jika golongan ulama serta cendekiawan Islam dapat memainkan peranan dengan menguasai medium penerangan ia memberikan kredit besar kepada perjuangan Islam dalam memahamkan manusia dengan lebih jelas dan cerah berhubung keadilan Islam dalam hukum jenayah terutama yang melibatkan hudud.
 
Melihat kepada senario yang berlaku setelah membuat penelitian secara ilmiah tanpa melihat kepada kecenderungan parti politik, MANHAL PMRAM mengambil pendekatan untuk turut bersama-sama dalam menyuarakan hasil perbincangan secara ilmiah dalam memberikan saham kepada perjuangan Islam dengan cara memberikan penerangan mengenai isu hudud yang diperkatakan.
 
 
Ulasan MANHAL PMRAM terhadap isu ini ialah :
 
1- Hudud merupakan kewajipan ke atas umat Islam dan menjadi tanggungjawab pemerintah Islam untuk melaksanakannya. Hal ini demikian kerana suruhan-suruhan berkaitan perlaksanaan hudud merupakan nas muktamad (qath’ie) iaitu tidak boleh digantikan atau ditukar dengan sistem perundangan yang lain.
 
Maka inilah konsep wasatiyah yang sebenar dalam Islam iaitu melaksanakan secara tetap terhadap nas yang muktamad dan mengolah secara baik terhadap nas zhanni (yang mempunyai banyak tafsiran. Maka nas ini dilihat kepada perubahan masa, tempat dan masyarakat dalam menjaga maslahat).
 
Mereka yang meninggalkan hudud dengan beralasan perundangan yang sedia ada sudah cukup dan memadai menjaga keamanan adalah mereka yang lari daripada manhaj wasatiyah dalam Islam bahkan mereka digelar sebagai perosak agama sebagaimana yang disebutkan oleh Dr Yusuf al-Qardhai dalam kitab beliau iaitu as-Siyasah as-Syar’iyah.
 
2- Hudud merupakan sebahagian dalam syariat Islam yang wajib dilaksanakan sebagaimana juga kewajipan-kewajipan yang lain seperti solat, zakat, puasa, pernikahan, kehakimana dan sebagainya. Hal ini jelas kerana syariat Islam itu berbentuk menyeluruh dan komprehensif dalam kehidupan manusia.
 
Islam bukan hanya agama yang berbentuk kepercayaan serta ibadah di masjid semata-mata. Namun Islam adalah satu cara hidup yang merangkumi segala aspek kehiduapan bermula sekecil-kecil urusan sehingga sebesar-besar urusan, maka termasuklah juga hudud kerana ia berada dalam konteks hukuman jenayah dan kehakiman dalam Islam.
 
Maka meninggalkan hudud bererti meninggalkan sebahagian syariat Islam, dan ia merupakan kelakukan yang tercela sebagaimana celaan Allah ke atas Yahudi yang beriman dengan sebahagian syariat yang diturunkan ke atas mereka dan meninggalkan sebahagian yang lain sebagaimana ayat ke-85 dalam Surah Al-Baqarah.
 
3- Hudud merupakan hak umat Islam dan kewajipan ke atasnya dan non-Muslim mesti menghormati hak umat Islam. Dalam sistem demokrasi yang dijalankan di negara kita yang memperuntukkan dalam Perkara 3 Fasal 1 bahawa Islam agama bagi Persekutuan dalam masa yang sama non-Muslim diberikan kebebasan untuk mengamalkan ajaran agama mereka kerana hak sivil mereka dilindungi dalam Perkara 3 Fasal 4.
 
Justeru, non-Muslim mesti menghormati kebebasan bagi umat Islam mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya termasuk hudud sebagaimana non-Muslim diberikan ruang dalam mengamalkan kepercayaan mereka. Dan perkara ini diperuntukkan dalam perlembagaan dan dijaga hak antara setiap warganegara.
 
4- Adapun perbincangan mengenai hukuman hudud ke atas non-Muslim,maka ia terpulang kepada non-Muslim tersebut dan mereka tidak dipaksa. Hal ini demikian kerana mereka tidak menganut akidah Islam maka bagaimana mungkin mereka dipaksa mengamalkan ajaran dalamya.
 
Bahkan ayat ke-42 dalam Surah Al-Maidah menjelaskan mengenai keterbukaan Islam terhadap non-Muslim dalam menjalani hukuman jenayah Islam atau tidak.
 
Bahkan ulama’ menyatakan bahawa jika non-Muslim dengan rela ingin mengikut perundangan Syariah sepenuhnya, maka bergantung kepada pemerintah untuk melaksanakannya atau menjatuhkan dengan hukuman selain Islam ke atas non-Muslim tersebut.
 
Selain itu, sejarah Islam ketika wujudnya Khilafah Uthmaniyah menunjukkan bahawa terdapat 2 jenis mahkamah iaitu mahkamah khas untuk umat Islam dan mahkamah yang diperuntukkan untuk non-Muslim. Hal ini menunjukkan ketegasan Islam bahawa umat Islam mesti menjalani hukuman mengikut syariat dan keterbukaan terhadap non-Muslim dalam menjalani hukuman mana yang mereka rela.
 
5- Dalam membincangkan isu hudud, umat Islam mesti berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan serta dakwaan. Hal ini demikian kerana sebarang bentuk kepercayaan, perbuatan serta percakapan yang menghina dan mempersenda hudud yang merupakan hukum Allah boleh menyebabkan terkeluar daripada agama.
 
Begitu juga dengan hukum tidak melaksanakan hudud (sekiranya mampu laksanakannya), maka ulama membahagikan kufur kepada kufur besar yang menyebabkan keluar daripada agama  serta kufur kecil yang tidak menyebabkan sehingga terkeluar namun berdosa besar bahkan tergolongan dalam kalangan zalim dan fasik. Hal ini berdasarkan kepada tafsiran bagi ayat ke-44, 45 dan 47 dalam Surah Al-Maidah.
 
Antara sebab yang boleh menyebabkan terjatuh dalam kufur besar ialah ingkar akan kewajipan melaksanakannya, melaksanakan hukuman selain Islam kerana bertujuan menentang syariat Islam, meyakini hukum selain Islam lebih relevan berbanding hukum Islam, meyakini hukum selain Islam adalah sama taraf dengan hukum Islam serta percaya bahawa melaksanakan hukum yang bercanggah dengan Islam adalah diharuskan dan tidak haram.
 
6- Isu Kafir Harbi dalam negara Malaysia tidak timbul kerana istilah Kafir Harbi tidak wujud selagimana tidak wujud negara Islam sebagaimana yang diperkatakan oleh ulama serta tokoh ilmuan iaitu Dato Dr Haron Din. Hal ini demikian kerana melihat kepada Malaysia yang merupakan pada hakikatnya adalah negara umat Islam kerana tidak memenuhi syarat negara Islam iaitu meletakkan perlembagaan tertinggi adalah syarak dan melaksanakan syariat secara menyeluruh.
 
Hal ini jelas apabila peruntukkan bidangkuasa bagi Mahkamah Syariah juga terbatas. Ia dapat dilihat pada Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) (Pindaan) 1984 memperuntukkan bahawa Mahkamah Syariah hanya berkuasa membicarakan perkara-perkara di mana hukuman yang boleh dikenakan adalah tidak melebihi 3 tahun penjara atau denda tidak melebihi RM 5000.00 atau sebat tidak lebih 6 sebatan atau gabungan hukuman-hukuman tersebut.
 
Maka non-Muslim yang berada di negara Malaysia realiti sekarang, lebih sesuai dengan istilah muwatinah iaitu warganegara. Justeru mana-mana warganegara dalam sesebuah negara dipelihara kehormatan dan hak mereka selagimana mereka mengikuti perlembagaan negara tersebut. Dan warganegara yang non-Muslim juga berkongsi hak dengan warganera muslim dari sudut keistimewaan bagi seseorang warganegara sebagaimana yang diperuntukkan dalam perlembagaan seperti kebebasan menganut mana-mana ajaran, perlindungan diri, jiwa dan harta serta sebagainya. Ini dapat dirujuk kepada sirah Nabi SAW di awal pembinaan negara di Madinah yang menunjukkan tidak ada lagi istilah ahli zimmi ke atas Yahudi yang berada di Madinah. Bahkan mereka sama sebagaimana masyarakat yang lain dari sudut kewarganegaraan mereka. Yang berbeza adalah dari sudut akidah dan syariat.
 
Hal ini demikian kerana wujudnya istilah ahli zimmi (non-Muslim yang berada bawah naungan negara Islam) apabila wujudnya negara Islam dan mereka melaksanakan tanggungjawab mereka antaranya ialah membayar jizyah (cukai ke atas ahli zimmi). Maka di Malaysia mereka (non-Muslim) tidak ada dikenakan bayaran jizyah dan Malaysia pada hakikatnya adalah negara umat Islam.
 
Namun begitu, realiti hari ini, negara-negara umat Islam juga turut mengguna pakai istilah negara Islam apabila melakukan hubungan luar kerana mereka membawa imej Islam apabila bertemu sesama mereka dalam membincangkan hal-hal yang berkaitan isu umat Islam serta apabila berhadapan dengan negara bukan Islam (negara kafir iaitu negara yang diperintah oleh orang kafir yang tidak ada peruntukan Syariah dalam perlembagaan mereka walau sebahagian).
 
Namun ia hanya untuk hubungan luar bagi mendatangkan maslahat kepada Islam. Dari sudut hakikat ia tetap sebagaimana negara umat Islam yang mana kewajipan ke atas wargenara muslim mesti memperjuangkan sehingga negara mereka menjadi negara Islam dengan melaksanakan syariat Islam secara menyeluruh.
 
7- Kewajipan warnegara muslim dalam negara umat Islam ialah menyebarkan dakwah dalam menerangkan hakikat sebenar perlaksanaan Islam yang dituntut iaitu secara menyeluruh kepada umat Islam khususnya. Selain itu meneruskan gerak kerja untuk menegakkan syariat Islam di negara mereka agar menjadi negara Islam dengan melaksanakan seluruh syariat Islam. Bahkan mempertahankan negara yang sedia ada dimiliki oleh umat Islam daripada dijajah oleh pihak musuh.
 
Justeru, umat Islam mesti memahami bahawa tidak memadai dengan hanya negara umat Islam sahaja bahkan gerak kerja mesti diteruskan sehinggalah tertegaknya syariat Allah di atas muka bumi ini bermula dengan negara mereka sebagaimana pada ayat ke-193 dalam Surah Al-Baqarah dan ayat ke-39 dalam Surah Al-Anfal. Maka wajib berusaha menegakkan syariat Islam dengan menukarkan negara umat Islam yang sedia ada kepada negara Islam.Wallahu a’lam
 
Disediakan oleh :
Muhamad Zuhaili Saiman (Pengerusi Felo MANHALPMRAM 2012)
‘Izzati Farhana Mahadzir (Penasihat HEWI PMRAM 2012)
 
Rujukan  :
 
1- Dr Munir Muhamad al-Ghabban, Qadaya Islamiah Mu’asirah, cetakan Dar as-Salam.
2- Dr Yusuf al-Qardhawi, Ghair al-Muslimin Fi al-Mujtama’ al-Islami, cetakan Maktabah Wahbah
3- Dr Yusuf al-Qardhawi, Min Fiqh ad-Daulah Fi al-Islam, cetakan Dar as-Sharouq
4- Dr Yusuf al-Qardhawi, ar-Riddah Wa ‘Uqubatuha, cetakan Maktabah Wahbah
5- Dr Wahbah az-Zuhaily, al-Fiqh al-Islami Wa Adlillatuh, jilid pertama, cetakan Dar al-Fikr
6- Dr Shadiq Syeif Nukman, al-Khilafah al-Islamiyah Wa Qadhiyah al-Hukm Bima Anzala Allah, cetakan Dar as-Salam.
7- Dr Zalikha Md Nor dan Zaini Nasohah, Pentadbiran Undang-undang Islam Di Malaysia, Pusat Pegajian Jarak Jauh UKM
8- Prof Madya Dr Abdul Samat Musa dan Zuliza Kusrin, Undang-undang Perlembagaan Dan Pentadbiran, Pusat Pegajian Jarak Jauh UKM
9- Muhamad Zuhaili Saiman, Fiqh Politik Islam, m/s 131-132, cetakan 2012, izin terbit oleh Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)
 
 
 Sumber: http://pmram.org/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=2189:ulasan-manhal-pmram-terhadap-isu-hudud-di-malaysia&catid=67:manhal