Sunday 31 March 2013

ISMA dan Pilihanraya: Satu Penilaian (Bahagian 2)




Dalam tulisan yang lepas, saya telah mengulas berkenaan situasi pilihan raya di Malaysia, kemampuan calon bebas dan sedikit pandangan saya berkenaan sikap ISMA terhadap parti-parti politik utama di Malaysia khususnya yang terlibat secara langsung dengan tindakan ISMA dalam krtikan-krtikannya.

Pada kesempatan ini, saya ingin meneliti berkenaan pendirian ISMA dalam hal ehwal politik, seterusnya membawa kepada andaian dan tilikan saya berkenaan corak apakah yang akan dimainkan oleh ISMA dalam PRU13 yang telah dipastikan oleh mereka bahawa mereka akan menghantar calon bertanding. Semoga Allah memandu saya untuk memberikan pandangan yang adil.


Pendirian ISMA Dalam Politik

Setiap entiti yang memasuki politik pilihanraya, pastinya mempunyai pendirian yang digariskan. Maka, berdasarkan sikap ISMA kepada parti-parti politik seperti yang saya gariskan sebelum ini, juga pendirian mereka terhadap isu-isu agama Islam, serta kurang caknanya mereka terhadap isu-isu keadilan dan social, saya menggariskan dua pendirian utama ISMA yang akan mendasari setiap tindakan mereka dalam politik, khususnya dalam PRU13.

Pendirian mereka yang pertama adalah, mereka meletakkan matlamat memastikan kuasa pemerintahan negara dan penentu dasar pemerintahan kekal di tangan umat Islam yang memegang majority selesa, sehingga segala ketetapan berkenaan agama Islam dapat dibuat dengan jayanya tanpa sebarang halangan daripada pemimpin bukan Islam. Bagi ISMA, dominasi kuasa politik umat Islam akan menjamin kelangsungan penjagaan aqidah, kepentingan umat Islam dan menjadi tiket utama untuk menegakkan Islam dalam pemerintahan di Malaysia.

Pendirian mereka yang kedua, tidak dinafikan isu-isu keadilan dan perjuangan menentang kezaliman serta penyelewengan adalah antara isu pokok dalam pemerintahan. Namun begitu, andai isu ini bertembung dengan kepentingan penyatuan dan pengekalan kuasa politik umat Islam, maka umat Islam perlu mengutamakan penyatuan dan mengenepikan sementara isu-isu keadilan ini memandangkan menjaga dominasi kuasa politik umat Islam, seterusnya menjaga aqidah dan kepentingan umat Islam, adalah lebih utama berbanding memperjuangkan keadilan pemerintahan.

Dua pendirian ini jika dilihat secara kasar kelihatan sangat baik dan ideal. Saya sendiri mengakui bahawa secara teorinya, pendirian ini boleh diterima dan memberikan kebaikan kepada umat Islam. Namun, dalam politik, idea yang mantap di atas kertas sama sekali tidak menjamin kemantapannya semasa perlaksanaan. Idea politik jika dinisbahkan dalam ilmu sains, ianya diibaratkan sebagai hipotesis yang sama sekali kita tidak boleh berpegang padanya.

Hipotesis hanyalah andaian awal yang mana perlu melalui proses eksperimen untuk menentukan kebenarannya. Andai ianya terbukti benar, maka hipotesis itu akan diterima dan dinamakan sebagai teori. Andai pula ianya tidak benar, maka hipotesis itu adalah salah dan sama sekali tidak boleh dimasukkan ke dalam mana-mana bahagian pengajian sains, apatah lagi ingin dianggap sebagai teori.


Kuasa Politik Islam Nombor Satu, Menentang Kezaliman Bukan Nombor Dua

Saya meletakkan dua pendirian ini sebagai pendirian ISMA kerana dengan dua ketetapan ini membuatkan ISMA tegar dengan pandangan bahawa PAS perlu bersatu dengan UMNO dan meninggalkan PR. Bagi ISMA, penyatuan UMNO dan PAS akan membuatkan umat Islam memegang dominasi kuasa politik dan menghalang bukan Islam daripada mendominasi kuasa politik negara.

Dalam pengajian Nuzum Islamiyah (Sistem-sistem Islam) Tahun 2 Kuliah Usuluddin Universiti Al Azhar, digariskan 5 asas utama pemerintahan Islam yang wajib dilaksanakan oleh mana-mana pemerintah Islam. Ianya adalah keadilan, kebenaran, kesaksamaan, kebebasan dan syura. Jika kita lihat kepada lima asas ini, empat daripadanya membicarakan soal kehidupan dan social masyarakat, manakala persoalan dominasi kuasa politik terdapat dalam asas yang kelima iaitu syura.

Keadilan diletakkan sebagai asas yang paling utama kerana perbezaan yang paling ketara antara pemerintahan Islam dan pemerintahan jahiliyyah adalah faktor keadilan. Jika kita menyelak sejarah dakwah Rasulullah SAW, ciri keadilan Islam ini menjadi faktor utama mengapa para sahabat menerima dakwah baginda ketika permulaan dakwah di Makkah, sehingga menjadikan mereka yakin akan ajaran Islam.

Mesti kita juga merasa hairan, mengapa persoalan menjaga aqidah dan agama Islam tidak digariskan sebagai asas pemerintahan Islam. Ini adalah kerana, penjagaan aqidah dan agama Islam termasuk dalam kelima-lima asas itu tadi. Pemerintahan Islam yang adil akan mencerminkan ajaran Islam yang mulia, seterusnya memperlihatkan keadilan Allah dalam mentadbir manusia. Begitu juga dengan asas kebenaran, kesaksamaan dan kebebasan. Semua asas ini diwajibkan untuk dinilai berdasarkan penilaian syarak dan melaksanakan semua asas ini akan menzahirkan rahmat Allah dan agama Islam yang menaungi seluruh alam.


Kezaliman Boleh Dikompromi Demi Penyatuan?

Asas pemerintahan Islam yang digariskan ini cukup memberikan kefahaman kepada kita betapa perjuangan menegakkan pemerintahan yang adil adalah elemen yang sangat penting, dan terdapat di dalamnya juga perjuangan mempertahankan aqidah umat Islam. Ianya menjadi asas utama pemerintahan Islam dan sama sekali tidak boleh diabaikan dengan apa jua alasan sekalipun

Maka, saya menolak sama sekali pemikiran bahawa perjuangan melawan kezaliman perlu diletakkan nombor dua sekiranya bertembung dengan kepentingan penyatuan umat Islam. Ini seolah-olah membawa maksud, Islam boleh berkompromi dengan kezaliman demi mencapai kuasa politik. Sekiranya pihak umat Islam yang kita diminta bersatu ini melakukan salah urus semata-mata kerana kecuaian atau kesilapan yang tidak disengajakan dalam pemerintahan, mungkin ianya boleh dipertimbangkan.

Namun, jika kezaliman yang berlaku itu adalah kezaliman yang disengajakan, berlaku secara konsisten tanpa henti, kemudiannya cuba ditutup kezaliman itu dengan mengawal system kehakiman, dan yang paling teruk adalah kezaliman dan korupsi tu telah menjadi budaya yang mendarahdaging, mengenepikan soal kezaliman ini semata-mata mengharapkan penyatuan umat Islam, bagi saya ia adalah satu seruan yang sama sekali bercanggah dengan asas pemerintahan Islam.

Ini belum lagi kalau kita ingin menilai adakah seruan perpaduan daripada mereka ini benar-benar ingin bersatu demi Islam, ataupun sekadar manis di bibir. Saya lebih cenderung untuk mempercayai bahawa seruan penyatuan ini adalah retorik semata-mata kerana banyak tindakan mereka yang menzalimi rakyat yang terdiri daripada umat Islam masih berterusan walaupun mulut mereka melaungkan zikir perpaduan. Saya telah jelaskan dalam artikel sebelum ini berkenaan bukti-bukti mudah yang boleh kita fikirkan akan ketelusan seruan perpaduan yang dilafazkan mereka.

Saya memegang kemas kalam Sheikh Hassan As Syafie yang merupakan salah seorang ulama kanan Institusi Azhar Sharif yang dilafazkan ketika khutbah Jumaat di Masjid Azhar pada tahun 2012, bahawa pemerintah bukan Islam yang adil, lebih baik daripada pemerintah Islam yang zalim. Keadilan dalam pemerintahan adalah cermin utama ajaran Islam dan sekiranya dilaksanakan, ia akan menjadi salah satu elemen penting untuk orang bukan Islam tertarik kepada Islam. Sebaliknya pula jika pemerintah Islam itu zalim, maka ia akan menjadi label kepada Islam yang menyebabkan manusia semakin lari daripada ajatan Islam.


Dominasi Kuasa Politik Konteks Malaysia

Tidak dinafikan bahawa dalam demokrasi, suara majority adalah menentu sesuatu keputusan dibuat. Saya yakin, berdasarkan kefahaman ini, ISMA memandang penyatuan PAS dan UMNO akan menghasilkan jumlah majority yang membuatkan umat Islam akan memegang kuasa politik yang dominan. Maka, apabila PAS menolak untuk bersatu dengan UMNO, ISMA melihat bahawa kuasa politik umat Islam akan menjadi lemah kerana dipecahkan kepada dua bahagian. ISMA juga dengan yakin menyatakan bahawa PAS bakal terpinggir daripada kumpulan penentu dasar dalam PR memandangkan PAS merupakan jumlah minority kerusi Parlimen di kalangan parti-parti lain dalam PR.

Andaian ini betul jika kita mengambil kefahaman kita terhadap demokrasi seperti di atas tadi. Namun, untuk konteks Malaysia, penilaiannya adalah berbeza. Perbezaan utama penilaian kuasa penentu dalam domokrasi konteks Malaysia adalah konsep ‘majoriti mudah’ yang diamalkan di peringkat Parlimen Persekutuan dan juga semua Dewan Undangan Negeri. Konsep ini seterusnya menafikan ketetapan bahawa pihak yang memegang kerusi terbanyak adalah sangat berkuasa dan yang memegang kerusi paling sedikit adalah tidak berkuasa.

Contoh mudah adalah apa yang berlaku di Perak dan Selangor semasa PRU12 yang menyaksikan tiada mana-mana parti iaitu baik BN, PAS, PKR dan DAP mencapai jumlah kerusi majority mudah di Selangor iaitu 29 kerusi dan di Perak iaitu 30 kerusi (Ketika itu, PR masih belum tertubuh. PAS,PKR dan DAP bertanding sebagai parti yang berasingan).

Ketika itu, parti yang menjadi rebutan dan penentu pihak mana yang akan memerintah adalah PAS. Ini bermaksud, pihak mana yang PAS bergabung, dialah menjadi kerajaan. Akhirnya, PAS bergabung bersama PKR dan DAP, seterusnya menyaksikan PR membentuk kerajaan di Selangor dan Perak. Lebih istimewa, Menteri Besar Perak dilantik dari kalangan Adun PAS walaupun PAS memegang jumlah kerusi terendah iaitu 6 kerusi sahaja.


Penilaian ISMA Tidak Tepat

Saya berpendapat, pandangan ISMA bahawa jika PAS tidak bersatu dengan UMNO, kuasa politik umat Islam akan terkikis dan PAS juga akan terpinggir dalam PR adalah pandangan yang tidak tepat untuk konteks demokrasi di Malaysia. Di Malaysia, PAS dengan sejarahnya yang pernah berkerjasama dengan hampir semua parti politik di Malaysia, adalah sangat fleksibel pembawaan politiknya dan mampu mempertahankan kuasa penentu politik umat Islam dalam apa jua keadaan dan bentuk kerjasama politik.

Ini belum lagi kita membuat penilaian terhadap ahli Parlimen PKR yang beragama Islam yang juga beriltizam tinggi untuk memperjuangkan agama Islam di Malaysia. Namun, penilaian saya terhadap kuasa penentu yang ada pada PAS sahaja sudah cukup membuktikan bahawa umat Islam tetap terjamin kuasa politiknya dalam PR, apatah lagi jika kita mengambil kira peranan ahli Parlimen PKR yang beragama Islam, pastinya dominasi kuasa politik umat Islam dalam PR lebih kuat dan terjamin.

Oleh itu, penolakan PAS terhadap seruan bersatu dengan UMNO tidak boleh terus dihukumkan sebagai mengikis kuasa politik umat Islam. PAS telah menetapkan untuk mengalahkan UMNO dan menjadi alternatif dalam memperjuangkan masyarakat Melayu dan umat Islam di Malaysia. PAS walaupun mungkin kecil jumlah kerusinya di peringkat pusat, tetapi PAS berkuasa sebagai penggerak utama dan menjadi kuasa penentu dalam PR.

Empat tajuk kecil di atas ini adalah khusus untuk menafikan dua pendirian ISMA yang saya gariskan mengikut penilaian saya tadi. Saya kira, saya telah menjelaskan betapa penentangan PAS kepada UMNO sama sekali tidak membawa kepada kejatuhan kuasa politik umat Islam, malah menepati seruan Islam untuk sentiasa memperjuangkan keadilan dan menentang kezaliman kerana Islam sama sekali tidak berkompromi dalam hal ehwal kezaliman, apatah lagi ianya melibatkan hak rakyat yang berada di bawah naungan sesebuah negara.

Saya kira ISMA tidak melihat akan hakikat ini, lantas terus menerus meletakkan hukum bahawa tindakan PAS menolak perpaduan bersama UMNO adalah tindakan memusnahkan kuasa politik umat Islam. Pertimbangan ISMA menjadi lebih senget apabila langsung tidak menyatakan pendirian terhadap isu-isu penyelewengan dan kezaliman yang dilakukan UMNO, malahan meletakkan segala masalah yang melanda umat Islam ke atas bahu PAS, hanya semata-mata mengadakan kerjasama dengan rakan dalam PR.

Saya lihat, ISMA kini seolah-olah dipergunakan oleh UMNO untuk menjayakan seruan palsu ‘penyatuan Melayu’nya itu. Saya masih bersangka baik bahawa ISMA tidak berniat untuk dijadikan alat oleh UMNO, namun pandangan dan pegangan politik ISMA yang salah ini menyebabkan mereka dipergunakan untuk kepentingan UMNO. Saya harap sangat agar ISMA menyedari segera hakikat ini dan membebaskan diri mereka daripada menjadi alat kepada UMNO. Potensi dakwah yang ada pada ISMA seharusnya digunakan untuk menguatkan perjuangan Islam, bukan menjadi tongkat untuk menyelamatkan Melayu korup.


Percaturan Pilihan Raya ISMA

Kini, saya ingin membuat sedikit andaian berkenaan bentuk percaturan ISMA dalam PRU13, berdasarkan kepada sikap ISMA terhadap parti-parti politik di Malaysia dan juga pendirian ISMA yang telah saya ulas di atas. Andaian saya ini juga berdasarkan sangkaan paling baik yang saya mampu berikan kepada ISMA. Saya akan mulakan dengan andaian kasar, kemudian diikuti dengan andaian yang lebih terperinci dan teliti.

Berdasarkan matlamat yang digariskan, saya mengandaikan ISMA tidak akan mengadakan kerjasama politik dengan mana-mana pihak, samada BN atau PR. Ini berdasarkan pengakuan ISMA bahawa mereka bukan alat kepada UMNO, maka ia membawa maksud bahawa ISMA tidak akan meminta laluan daripada UMNO-BN untuk bertanding satu lawan satu dengan calon PR. Berdasarkan sikap ISMA kepada PR, boleh dikatakan mustahil pula ISMA akan meminta laluan daripada PR untuk bertanding. Ibarat menunggu ayam jantan bertelur, begitulah juga kemungkinan ISMA akan bersama dengan PR dalam PRU.

ISMA juga mungkin tidak akan mencelah dalam pertandingan yang menyaksikan PAS bertembung dengan UMNO, kerana tindakan mencelah itu akan menafikan matlamat mereka menyertai PRU. Adapun kerusi yang ditandingi oleh calon Melayu Islam melawan calon bukan Islam, ISMA juga mungkin tidak akan mencelah kerana pastinya ISMA mengharapkan calon Islam itu akan menang dan undi umat Islam tidak perlu dipecahkan dengan penyertaan ISMA bertanding di tempat yang sama.

Berdasarkan sikap ISMA yang mengagungkan perpaduan sesama Islam, saya mengandaikan bahawa ISMA hanya akan meletakkan calon di kerusi yang akan ditandingi oleh calon bukan Islam dari kedua-dua pihak. Ini juga bertepatan dengan matlamat ISMA menyertai PRU iaitu ingin menyelamatkan undi umat Islam daripada memberikan undi kepada pihak yang merugikan Islam. ISMA kemungkinan akan mencelah dalam pertandingan antara BN-DAP dan juga BN-PKR (calon bukan Islam). ISMA mengharapkan pengundi Islam akan mengundi mereka sebagai alternatif kepada dua calon bukan Islam.

Strategi ini tidak dapat dipastikan adakah mampu meraih kejayaan atau tidak kerana kebiasaannya kawasan yang ditandingi oleh dua calon bukan Islam dari BN dan PR adalah di kawasan yang mana jumlah pengundi Melayu Islam adalah 60% ke bawah. Kemudiannya, penyokong tegar Melayu BN dan PR pastinya akan mengundi calon mereka biarkan pun calon mereka adalah bukan Islam. ISMA hanya mampu berharap kepada pengundi Melayu atas pagar yang saya rasakan sangat kecil peratusnya berbanding jumlah keseluruhan pengundi.

Andai kita menganggap bahawa satu pertiga daripada pengundi Melayu Islam adalah mereka yang bersikap atas pagar. Maka, undi yang akan diperoleh ISMA adalah sekitar 20% daripada jumlah keseluruhan pengundi. ISMA kemungkinan besar tidak akan menerima undi dari bukan Islam kerana pendirian ISMA sendiri dilihat sangat berlawanan dengan kehendak pengundi bukan Islam. Oleh itu, jumlah 20% ini sama sekali tidak akan membawa ISMA kepada kemenangan. Cukup sekadar menyelamatkan wang deposit mereka daripada diinfaqkan kepada SPR.

Jika inilah strategi ISMA dalam PRU, ianya sama sekali tidak akan memberikan apa-apa impak kepada politik Malaysia malah PRU13 seolah-olah tidak merasa apa-apa dengan kehadiran ISMA yang menghantar calonnya bertanding.


Adakah ISMA Masuk PRU Untuk Kalah?

Penilaian saya di atas tadi adalah berdasarkan pendirian dan sikap mereka terhadap politik dan parti-parti politik di Malaysia. Ia memperlihatkan bahawa ISMA akan menempuh jalan yang sukar untuk memenangi kerusi jika mereka sekadar berharap kepada pertandingan di kerusi yang ditandingi oleh dua calon bukan Islam.

Saya kira, ISMA bukan terlalu naïf untuk menyertai PRU semata-mata untuk kalah. ISMA mengumumkan penyertai PRU dengan penuh gah, dan disambut dengan sokongan tidak berbelah bahagi oleh ahli-ahlinya. Dicampur lagi dengan usaha berkempen ISMA yang sudah dimulakan dengan membawa slogan ‘Arus Baru’. Maka, saya yakin ISMA tidak mahu arus mereka berubah menjadi buih-buih sahaja dalam PRU nanti.

Saya rasakan bahawa ISMA akan berusaha untuk menyusun strategi untuk menang. Saya tidak dapat menilik secara pasti apakah strategi itu, tetapi jika melihat kepada situasi dan strategi yang membolehkan satu-satu calon bebas itu menang, cara yang paling ampuh adalah memilih untuk berkompromi dan meminta laluan daripada mana-mana parti gabungan utama. Saya ulangi, ini adalah andaian saya, bukan satu kepastian.

Jika diteliti kepada seruan dan pendirian ISMA sebelum ini, seolah-olah ini tidak berlaku. Tetapi kebarangkalian ianya berlaku tidak dapat dinafikan, tambahan pula cara ini adalah cara yang paling selamat untuk seseorang calon bebas itu ingin mendapatkan kemenangan iaitu mengelakkan pertandingan tiga penjuru, mewujudkan pertandingan satu lawan satu, dan mendapatkan sokongan parti gabungan utama negara. Dengan ini, penyokong parti gabungan yang memberikan laluan itu sudah pastinya akan mengundi calon bebas ini. Ditambah pula dengan sokongan pengundi atas pagar, maka jaminan kemenangan akan menjadi lebih tinggi daripada pertandingan tiga penjuru.

Bersambung bahagian tiga (percaturan dan tindak tanduk ISMA dalam PRU serta kesannya)

(Mohon maaf kerana saya merasakan tulisan saya berkenaan ini tidak boleh ditamatkan dengan dua bahagian penulisan. Jika ingin diteruskan, bimbang akan menjadi terlalu panjang. Saya akan menyambung tulisan ini untuk bahagian ketiga dan seterusnya sehingga tamat segala perangkaan saya dalam mengulas perkara ini. Terima kasih atas sokongan)


Mohd Azrul Azuan bin Idris
2.40 am, 11 Feb 2013.

Sumber: http://www.mohdazrul.net/2013/02/isma-dan-pilihanraya-satu-penilaian_10.html

3 comments: