Sunday 31 March 2013

ISMA dan Pilihanraya: Satu Penilaian (Bahagian 1)



Kehangatan Pilihan Raya Umum (PRU) semakin terasa. Bukan sahaja hangat, malah mungkin ada yang sudah hangus dibaham kepanasan PRU yang dijangka paling sengit dalam sejarah pilihan raya di Malaysia. Buat pertama kalinya, UMNO dan Barisan Nasional (UMNO-BN) selaku parti pemerintah yang sudah memerintah sejak kemerekaan negara merasakan kemungkinan mereka akan tewas dan tidak dapat membentuk kerajaan lagi selepas ini.

Jika dinilai kepada perkembangan politik dunia, maka kegusaran UMNO ini ada asasnya. Di Jepun, parti LDP yang merupakan parti utama di sana yang memerintah sejak 1955, akhirnya merasa kehilangan kuasa di tahun 2009. Di United Kingdom juga, Tony Blair yang merupakan antara Perdana Menteri yang popular, akhirnya diturunkan setelah menerima hukuman dari rakyatnya atas pelbagai kesalahan terutamanya menyertai perang bersama Amerika yang menyaksikan United Kingdom mengalami kemerosotan ekonomi.

Ini belum dikira dengan fenomena ‘Arab Spring’ yang kini sedang merebak di Dunia Arab. Satu persatu kuasa regim dan diktator negara Arab digulingkan dengan cara yang lebih ekstrem. Ben Ali di Tunisia bertempiaran lari ke Saudi dan Muammar Ghadafi di Libya mati dibunuh. Presiden Yaman, Ali Abdullah Salleh diserang dan hampir terbunuh. Bekas Presiden Mesir, Husni Mubarak pula kini sedang menanti perbicaraan semula oleh kerajaan baru pimpinan Muhammad Mursi.


PRU13 Meriah

Dengan segala perkembangan ini, UMNO kini sudah kecut perut. Bayangan kekalahan dan hilang kuasa semakin menjelma. Ini yang menjadikan PRU13 merupakan PRU paling meriah yang akan berlangsung. Angin perubahan yang melanda rakyat rata-ratanya menunjukkan ingin merasai perubahan kerajaan setelah lebih 50 tahun peluang hanya diberikan kepada UMNO-BN.

Dalam kemeriahan demam PRU ini, muncul sebuah NGO baru yang kini vocal dalam menyuarakan pandangan dan kritikan khususnya kepada Pakatan Rakyat (PR) mengumumkan akan turut terlibat dengan menghantar calon untuk bertanding dalam pilihan raya. Tindakan mencemar duli ini, jika dipandang dari sudut demokrasi, maka ianya dialu-alukan. Semoga dengan penyertaan mereka, akan memberikan mereka gambaran sebenar dunia politik kepartian, setelah sekian lama melihat lapangan politik negara dari luar pagar.

Namun, apabila dipandang dari sudut tujuan, matlamat dan strategi NGO bernama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) ini untuk menyertai pilihan raya, ia menimbulkan pelbagai persoalan. Salah satu tujuan mereka seperti yang dinyatakan presidennya iaitu Al Fadhil Ustaz Abdullah bin Zaik, yang saya kira menjadi kesimpulan kepada semua tujuan lain adalah untuk membantu mengukuhkan kedudukan politik orang Islam demi masa depan agama, bangsa dan negara.

Apabila diteliti secara teknikal, persoalan utama yang timbul adalah apakah peranan yang akan dimainkan oleh ISMA jika mereka menghantar calon untuk bertanding dalam PRU13. Menjadi tradisi PRU di Malaysia, pertembungan yang berlaku kebanyakkannya adalah perlawanan satu lawan satu iaitu pihak BN dan lawannya. Untuk PRU13 ini, dengan menilai iklim politik semasa, hampir pastinya semua kerusi Parlimen dan DUN akan ditandingi oleh dua parti gabungan utama di Malaysia iaitu BN dan PR.


Potensi Calon Bebas

Realiti ini akan menyebabkan tiada satu kerusi pun yang akan berlaku kemenangan tanpa bertanding, atau hanya satu pihak sahaja yang menghantar calon. Oleh itu, jika ada pihak lain selain dua parti gabungan ini ingin bertanding, maka pastinya mereka akan berhadapan dengan calon dari BN dan PR yang kemudiannya akan membawa kepada pertandingan tiga penjuru atau lebih
.
Maka, menurut pemerhatian saya, penyertaan ISMA akan menimbulkan tiga kemungkinan peranan yang akan dimainkan mereka. Pertama, calon ISMA akan menjadi calon bebas sepenuhnya. Kedua, calon ISMA menjadi calon bebas yang mesra dengan mana-mana parti gabungan utama. Ketiga, ISMA akan diberi laluan oleh mana-mana pihak untuk bertanding mewakilinya.

Jika kita menolak kemungkinan ada kompromi daripada BN atau PR kepada ISMA, maka ISMA pastinya akan menjadi calon bebas. Samada bebas sepenuhnya atau bebas yang berpihak, saya tidak mahu mengulasnya. Apa yang hendak diperhatikan adalah potensi calon bebas dalam PRU di Malaysia setakat ini tidak lebih daripada pihak yang akan memeriahkan suasana, atau menjadi pemecah undi kepada parti gabungan yang bertanding.

Dalam sejarah PRU, amat sedikit calon bebas yang berjaya memenangi kerusi. Calon bebas yang berjaya ini hanya di beberapa kerusi di Sabah dan juga calon bebas yang meminta laluan dari parti gabungan seperti YB Datuk Ibrahim Ali di kerusi Pasir Mas pada PRU12 yang lepas. Kebanyakan calon bebas yang lain kalah teruk di kerusi yang dipertandingkan dan kehilangan wang deposit.


Apakah Pilihan ISMA?

Oleh itu, jika diteliti dari sudut matlamat ISMA yang ingin menyertai pilihan raya secara serius, agak janggal jika ISMA menyertai PRU hanya sekadar pemeriah suasana dan ingin menginfaqkan wang depositnya kepada SPR. Tetapi, jika dinilai pula dari sudut kemampuan ISMA memenangi pilihan raya, bagi saya ini juga masih samar-samar. 

Kekuatan mana-mana entity yang menyertai pilihan raya bukan boleh diukur dengan kekuatan media Youtubenya sahaja, juga bukan boleh diukur berdasarkan respon hangat yang diperolehinya apabila setiap kali memberikan ulasan politik. Kekuatan dalam pilihan raya diukur dengan kekuatan jentera, media yang menyeluruh, penyokong, kekuatan menggempur, dan juga kemampuan masuk ke peringkat akar umbi masyarakat.

Oleh itu, jika dinilai dari sudut reality dan kebiasaan PRU, jika ISMA benar-benar bertujuan untuk memenangi kerusi, ISMA perlu menjadi calon bebas yang mesra terhadap mana-mana parti gabungan besar agar mereka diberikan laluan untuk bertanding satu lawan satu. Jika ISMA menyertai politik sekadar untuk memecahkan undi agar pihak yang disokongnya menang, maka cukuplah ISMA menjadi calon bebas yang akan mengimplikasikan perlawanan tiga penjuru di kerusi yang akan ditandinginya.

Namun begitu, saya tidak dapat menilik pilihan manakah yang akan diambil oleh ISMA. Apa yang saya ingin kupas dalam artikel yang mungkin panjang ini adalah kesan penyertaan ISMA dalam PRU13 dengan mengambil sudut pandangan ‘paling sangka baik’ yang saya mampu. Dengan ini, kita dapat menilai sejauh mana penglibatan ISMA ini akan menguntungkan Islam dan mencapai tujuan yang mereka gariskan.

Sebelum kita ingin meneliti lanjut percaturan politik yang akan berlaku, penting untuk kita mengetahui terlebih dahulu apakah pendirian dan pandangan ISMA terhadap parti-parti politik di Malaysia kerana pendirian mereka ini akan memberikan kesan utama terhadap tindakan politik mereka. Seperti ilmu Qawaidh Fiqhiyyah, sesuatu hukum itu dapat diqiaskan daripada hukum yang lain berdasarkan kaedah yang dijadikan asas dalam penilaian.

Maka, penilaian saya yang berikutnya berkenaan perbincangan ini adalah berteraskan pendirian dan gesaan-gesaan yang pernah ISMA suarakan terhadap parti-parti politik utama di Malaysia khususnya parti yang pernah ditegur dan dikritik oleh ISMA. Saya mengkhususkan pendirian ISMA ini terhadap apa yang pernah disuarakan mereka samada melalui kenyataan terbuka pimpinan mereka atau maklumat yang saya dapat secara terus daripada ahli-ahli mereka.


Pendirian ISMA Terhadap Dua Parti Besar Orang Melayu

UMNO dilihat oleh ISMA sebagai parti Islam yang memperjuangkan Islam, bangsa Melayu dan Raja-raja Melayu. Ini banyak disebut oleh ISMA di dalam buletinya apabila menamakan UMNO sebagai parti Islam seperti PAS. Walaupun ISMA mengakui bahawa UMNO amat bermasalah terutamanya dalam masalah ketelusan dan penjagaan hak rakyat, tetapi semua itu dilihat masih boleh dimaafkan apabila bertembung dengan perkara yang bagi ISMA lebih utama iaitu orang Melayu khususnya UMNO dan PAS perlu bersatu dan berkerjasama demi kebaikan orang Melayu.

Pada saya, apa yang kelihatan pelik di sini adalah harapan menggunung masih diberikan kepada UMNO untuk menjaga Islam dan bangsa Melayu walaupun secara fakta dan sejarah telah terbukti UMNO banyak mengkhianati Islam, bangsa Melayu dan Raja-raja Melayu. Contohnya, masalah didikan kepada remaja yang banyak dihalakan kea rah hiburan melampau, isu hudud, isu royalty, penafian hak kepada rakyat yang menyokong PAS, penyelewengan, ketirisan, kebocoran dana negara, krisis perlembagaan 1992 berkenaan kuasa raja-raja, dan pelbagai lagi rekod yang kemas tersimpan dalam lipatan sejarah.

Berkenaan PAS, ISMA kerap mengulangi pendirian mereka bahawa mereka menyayangi PAS dan mahukan PAS terus istiqamah memperjuangkan Islam, walaupun banyak tindakan yang ISMA lakukan mampu untuk menjejaskan PAS. ISMA secara tidak langsung membahagikan PAS kepada dua pihak iaitu yang pertama pihak PAS tulen dan kedua pihak PAS ‘celup’ atau pihak di dalam PAS yang komited dan rapat dengan rakan PR yang lain iaitu PKR dan DAP (perkataan celup ini adalah pilihan saya sendiri kerana bertepatan dengan antonim bagi tulen).

Dengan pembahagian ini, ISMA dilihat menyokong pihak PAS yang tulen dan sangat vokal terhadap pihak PAS celup, dan mereka menggesa supaya PAS mengekalkan perjuangan PAS yang asal seperti yang dipegang sebelum mengadakan kerjasama dalam PR, walaupun keadaan sebenarnya adalah PAS tidak pernah mengubah dasar perjuangan. Yang berlaku adalah PAS mengubah slogan dan pendekatan politik. Selain itu, bagi ISMA, PAS perlu dominan dalam PR dan mengetuai pakatan ini jika memerintah Malaysia. Jika tidak, PAS perlu mengkaji semula dasar tahalluf siyasi yang dijalankan kini dan jika perlu, PAS harus keluar daripada PR.


Perbandingan Hubungan Bersama UMNO dan PAS

Pada pandangan saya, jika dinilai perbandingan secara realiti antara hubungan ISMA-UMNO dan ISMA-PAS, ISMA dilihat lebih menyantuni UMNO dan amat vokal terhadap PAS. ISMA beralasan bahawa PAS adalah parti Islam harapan yang perlu lebih banyak ditegur jika mereka tergelincir daripada landasan mereka. Namun, beberapa kritikan ISMA dilihat agak keterlaluan seperti mengatakan PAS hilang identity, melabel beberapa pimpinan PAS sebagai liberal, membuat komentar terhadap isu-isu yang melibatkan PAS secara tidak adil dan pelbagai lagi tindakan yang vokal terhadap PAS. 

Berbeza pula dengan UMNO, ISMA dilihat tidak banyak mengkritik keras UMNO dan lebih mengutamakan sangka baik terhadap UMNO. Jika ada kritikan dibuat, kritik itu dilihat terlalu sopan santun dan bagi saya cukup sekadar melengkapkan ‘kouta teguran’. Apatah lagi apabila menyentuh berkenaan isu-isu penyelewengan dan kezaliman UMNO kepada rakyat, boleh dikatakan tiada pendirian rasmi dibuat ISMA berkenaannya walaupun isu yang timbul menyentuh hak orang Melayu secara langsung atau tidak langsung. Contohnya, isu Bersih, royalty Kelantan dan hukum hudud.

Di sinilah timbul kontroversi di mana ISMA dilihat sangat mesra UMNO dan sebaliknya pula terhadap PAS, hinggakan ISMA dianggap oleh sesetengah pihak sebagai alat UMNO untuk berhadapan dengan PAS dalam PRU akan datang. Apabila ISMA mengumumkan akan menyertai pilihan raya, ramai mula membuat andaian ISMA akan menjadi calon UMNO atau diberi laluan oleh UMNO untuk menentang PAS. Ditambah lagi dengan komitmen ISMA yang selama ini mengkritik keras PAS dan PR memberikan satu petunjuk jelas bahawa hampir mustahil penyertaan ISMA dalam PRU akan datang ini bertujuan memberikan keuntungan kepada PR.

Pada pandangan saya, jika benar ISMA berperanan sebagai NGO bebas yang ingin melihat perpaduan dan kesatuan di kalangan umat Islam, ISMA perlu adil dalam memberikan kritikan. ISMA bebas untuk tidak bersetuju dengan dasar PAS dan mengkritiknya, namun kepincangan dan kezaliman yang dilakukan UMNO terhadap PAS, umat Islam dan harta negara seharusnya mendapat perhatian ISMA.

Namun, ini tidak berlaku. PAS terus menerus dikritik walaupun perkara yang dikritik itu termasuk dalam perkara ijtihad dan hal ehwal dalaman PAS. Sedangkan kezaliman UMNO yang jelas nyata bercanggah dengan Islam dan menzalimi hak rakyat Malaysia termasuk masyarakat Melayu, tidak diulas dan diambil peduli secara serius oleh ISMA. Di sinilah timbul kehairanan saya, bentuk perjuangan Islam dan Melayu apakah yang dibawa oleh ISMA jika terlalu banyak isu yang menyentuh hak orang-orang Melayu dan keadilan pemerintahan Islam tidak termasuk dalam penilaian dan agenda perjuangan ISMA.


Pandangan ISMA Terhadap PKR, DAP dan MCA
 
ISMA dengan jelas melabelkan PKR sebagai parti liberal walaupun PKR ditunjangi oleh pemimpin berbangsa Melayu dan beragama Islam. Dalam apa jua komentar ISMA berkenaan politik, tidak pernah kelihatan ISMA memberikan pandangan positif dan membina kepada PKR. Pendirian ISMA terhadap PKR ini mungkin lahir daripada pendekatan PKR dalam politik negara yang ISMA rasakan lebih mengutamakan keadilan social daripada banyak bercakap berkenaan Islam.

Sikap lantang ISMA terhadap PKR ini lebih jelas kelihatan apabila ISMA sama sekali tidak memasukkan PKR dalam agenda umatnya dan hanya memfokuskan PAS dan UMNO sebagai symbol utama perpaduan umat Islam. Sedangkan hakikat politik semasa yang tidak dapat kita elakkan adalah PKR juga disokong oleh sebahagian besar masyarakat Islam Melayu di Malaysia, di mana jika PKR diabaikan daripada agenda penyatuan Melayu, bermakna akan ada lebih 30% daripada orang Melayu diabaikan daripada disatukan.

Berkenaan DAP dan MCA, ISMA kelihatan bersikap sangat keras terhadap DAP, malah lebih keras daripada sikap ISMA terhadap MCA yang juga merupakan parti yang diwakili kaum Cina. Ini dibuktikan apabila timbul isu sensitif yang melibatkan umat Islam yang ditimbulkan oleh DAP akan dilayan sangat keras berbanding isu yang ditimbulkan oleh MCA. Bukan sekali dua MCA menunjukkan kebiadapan kepada Islam, tetapi kritikan kepada MCA kelihatan lebih lunak berbanding kritikan kepada DAP.


Mengapa MCA Menerima Layanan Lebih Baik?

Dalam penilaian saya, sikap ini mungkin timbul disebabkan pandangan ISMA bahawa dominasi UMNO dalam konteks BN lebih kuat berbanding dominasi PAS dalam PR, seperti yang dinyatakan oleh Presiden ISMA dalam pembentangan kertas kerja semasa program konvensyennya di Putrajaya tahun lepas. MCA dilihat berada di bawah kawalan dan penguasaan UMNO berdasarkan percaturan kuasa dan kerusi pilihan raya di mana UMNO sentiasa memiliki jumlah kerusi tertinggi dalam setiap penggal Parlimen Malaysia. Malahan, dalam pilihan raya umum juga UMNO akan bertanding di lebih 112 kerusi Parlimen iaitu jumlah minimum majority mudah untuk membentuk kerajaan sedangkan MCA, jika mengikut rekod PRU12, hanya bertanding di 40 kerusi Parlimen.

Jika benar ini asas yang digunakan untuk menetapkan sikap terhadap MCA, saya berpendapat sikap begini tidak adil. Dalam banyak isu membabitkan Islam yang sama-sama tidak dipersetujui oleh MCA dan DAP, kita dapat lihat asas penolakan dan tidak setuju kedua mereka adalah berbeza. Contohnya dalam isu hudud, DAP walaupun tidak bersetuju dengan PAS, namun asas ketidaksetujuan mereka adalah mereka berpandangan hudud bercanggah dengan semangat Pelembangaan Persekutuan.

Berbeza dengan MCA, mereka tidak bersetuju dengan hudud disebabkan mentality mereka yang memandang hina hukum Allah ini. MCA melalui presidennya yang berucap semasa Perhimpunan Agong MCA tahun lepas, yang mana ketika ucapan itu dibuat Presiden UMNO Dato’ Seri Najib ada dalam majlis tersebut, dengan jelas menyatakan hukum hudud tidak menyelesaikan masalah, malah negara-negara Islam yang mengamalkan hudud merupakan antara negara yang paling korup dalam dunia.

Ratib yang dimainkan MCA adalah sama dengan zikir yang pernah dilafazkan pemimpin UMNO sebelum ini seperti hudud tidak adil, membawa negara ke arah ketidakstabilan, dan kemunduran. Dalam isu bersalaman antara lelaki dan perempuan, MCA pernah menghina calon muslimat PAS yang bertanding dalam PRK N05 Tenang di Johor sebagai tidak mesra rakyat hanya kerana tidak bersalam dengan pengundi lelaki. Jika ISMA adil dalam penilaian, seharusnya layanan kepada kedua-dua parti ini adalah sama dan sekata. Tidak adil sekiranya DAP dikritik dengan keras sedangkan MCA adakalanya bersikap jauh lebih biadap daripada DAP dalam isu-isu yang melibatkan agama Islam.

Berkenaan pendirian ISMA terhadap parti-parti lain khususnya parti kompenan BN seperti MIC, Gerakan, PPP dan lain-lain, saya rasa tidak perlu diulas kerana parti-parti ini boleh dikatakan tidak banyak terlibat dengan isu-isu umat Islam. Malah, ISMA sendiri boleh dikatakan tidak pernah menyentuh dan menyatakan pendirian yang jelas kepada mereka lantaran ketidakterlibatan mereka dalam isu-isu Melayu dan agama Islam di Malaysia.

Bersambung di bahagian dua (andaian percaturan politik ISMA dan kesannya).

Mohd Azrul Azuan bin Idris
2.00 pm, 5 Februari 2013.


Sumber: http://www.mohdazrul.net/2013/02/isma-dan-pilihanraya-satu-penilaian.html

0 comments:

Post a Comment