Wednesday 17 April 2013

Tahaluf Siyasi dalam Konteks Pilihanraya di Malaysia

Muqaddimah

Tahaluf ialah perjanjian persefahaman bagi menjalin kerjasama dan saling membantu untuk menghadapi lawan.

Persefahaman ini berlaku di kalangan sesama Islam seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dengan Aus dan Khazraj, yang membawa kepada penyatuan umat di bawah panji-panji dan tertegaknya negara Islam.

Hal ini juga berlaku dengan kumpulan bukan Islam seperti persefahaman dengan Bani Hasyim dan Bani Abdul Muttalib, yang berlaku sebelum peristiwa Hijrah dan persefahaman dengan Kabilah Khuza’ah selepas Perjanjian Hudaibiah.

Rasulullah s.a.w. mengiktiraf hil al-fudhul yang berlaku pada zaman jahiliah, apabila terbentuk satu persefahaman menentang kezaliman. Perkara ini terjadi setelah seorang dari kabilah Zubayd dizalimi oleh Aas bin Wa’il, lalu dia meminta pertolongan. Akan tetapi tiada siapa yang sanggup menolongnya. Lalu beberapa orang daripada bangsawan Mekah yang bersimpati dengannya telah mengadakan persefahaman di rumah Abdullah bin Jad’an, untuk menentang kezaliman tersebut.

Berhubung dengan peristiwa ini, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

عن طلحة بن عبد الله بن عوف الزهري يقول قال رسول الله صلى الله عليه وسلم لقد شهدت فى دار عبد الله بن جدعان حلفا ما أحب أن لي به حمر النعم ولو أدعى به في الإسلام لأجبت
Maksudnya:
“Daripada Talhah bin Ubaidillah bin ‘Auf al-Zuhri katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya saya telah menyaksikan di rumah Abdullah bin Jud’an satu pakatan, yang aku amat suka kepadanya seperti saying kepada seekor unta merah (barang yang sangat berharga). Kalau saya diajak kepadanya pada zaman Islam, nescaya saya akan menyahutnya.” (Riwayat Ibn Ishaq)

Oleh itu, tahaluf telah menjadi suatu perkara yang berlaku di dalam perjalanan Harakah Islamiah, menurut keperluan dan cabaran yang berlaku pada zaman masing-masing. Satu kajian yang mendalam perlu dibuat dan dibincangkan dengan teliti agar langkah yang diambil tidak bercanggah dengan prinsip Islam, yang mesti ditegaskan dalam semua keadaan.


Hukum Tahaluf

Tahaluf diizinkan oleh syariat berdasarkan kepada syarat-syaratnya. Untuk memahami syarat-syaratnya, hendaklah dikaji perbezaan di antara tahaluf yang dilangsungkan oleh Rasulullah s.a.w. dan tahaluf yang ditolaknya.

1. Syarat-syarat Tahaluf

1.1     Membawa maslahah dan tidak mengikat sehingga menjejaskan prinsip.

Dalil-dalilnya adalah:

i.    Hubungan Rasulullah s.a.w. dengan keluarga dari kalangan Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib, khasnya Abu Talib. Walaupun mereka tidak menganut Islam, tetapi mereka mempertahankan Rasulullah s.a.w. sehingga sanggup berkorban apa sahaja. Tetapi Abu Talib pernah membuat satu kenyataan seolah-olah supaya Rasulullah s.a.w. bertolah ansur dalam perkara prinsip. Lalu dengan tegasnya, Rasulullah s.a.w. bersabda:

يا عم، والله لو وضعوا الشمس في يميني، والقمر في يساري على أن أترك هذا الأمر حتى يظهره الله أو أهلك فيه ما تركته

Maksudnya:
“Wahai bapa saudara kesayanganku! Demi Allah! Kalau mereka meletakkan matahari di sebelah kananku dan bulan di sebelah kiriku, agar aku meninggalkan urusan ini (menegakkan Islam) nescaya aku tidak akan meninggalkannya, sehingga Allah memberi kemenangan kepada agama-Nya atau aku mati kerananya.” (Diriwayatkan oleh Ibn Ishaq)

Akhirnya Abu Talib dan keluarganya kecuali Abu Lahab, mengambil keputusan untuk mempertahankan Rasulullah s.a.w.

ii.    Hubungan Abu Bakar al-Siddiq r.a. dengan Ibn Daghinah yang bersedia untuk member perlindungan kepada beliau dibatalkan. Hal ini terjadi apabila Ibn Daghinah mensyaratkan kepada Abu Bakar r.a. supaya beliau tidak membaca al-Quran di luar rumah kerana bimbang boleh mempengaruhi orang lain kepada Islam.

Contoh maslahah yang diizinkan:

i.    Ke arah kedaulatan Islam dan perlaksanaan syariatnya:

Dalam situasi kegagalan ideologi-ideologi asing dan kebuntuannya menyelesaikan masalah, terdapat kumpulan orang-orang Islam yang jahil dan terjebak ke dalam ideologi bukan Islam dan kumpulan bukan Islam, yang memberi kesempatan kepada perlaksanaan Islam. Maka mestilah diadakan hubungan dengan mereka ke arah memberi sokongan kepada perjuangan kita dalam pilihanraya, dalam persidangan dewan rakyat dan sebagainya. Dengan syarat, mereka bersedia untuk menerima kepimpinan Islam, mengakui kedaulatan dan perlaksanaan syariat dengan sepenuhnya, dan kita tidak memaksa mereka menganut Islam tetapi mengambil peluang memperkenalkan Islam kepada mereka. Dalilnya ialah perjanjian Rasulullah s.a.w. di Madinah dengan orang-orang Yahudi.

ii.    Menentang kezaliman, penyelewengan dan keruntuhan moral:

Apabila perkara ini merupakan perkara-perkara yang dirasai kesan dan akibatnya kepada semua golongan, termasuk golongan bukan Islam, maka bolehlah diadakan persefahaman dalam perkara ini. Contohnya kerjasama di dalam usaha mendesak pembebasan tahanan dan sebagainya, kerana Rasulullah s.a.w. mengiktiraf hilf al-fudhul serta mengakui pakatan dan persefahaman golongan yang menentang perjanjian pemulauan ke atas keluarga Rasulullah s.a.w., walaupun mereka tidaklah sampai ke peringkat mengakui kedaulatan Islam. Rasulullah s.a.w. bersabda:
عن جابر قال اقتتل غلامان غلام من المهاجرين وغلام من الانصار فنادى المهاجر أو المهاجرون يا للمهاجرين ونادى الأنصاري يا للانصار فخرج رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال ما هذا دعوى أهل الجاهلية قالوا لا يا رسول الله إلا أن غلامين اقتتلا فكسع أحدهما الآخر قال فلا بأس ولينصر الرجل أخاه ظا لما أو مظلوما إن كان ظالما فلينهه فإنه له نصر وإن كان مظلوما فلينصره.

Maksudnya:
“Dari Jabir r.a. katanya: Dua orang anak muda, salah seorang daripadanya adalah dari kaum Muhajirin dan seorang lagi dari kaum Ansar, sedang bertengkar. Seorang dari kaum Muhajirin atau mungkin juga beberapa orang dari kaum Muhajirin berteriak: Wahai orang Muhajirin! Manakala kaum Ansar berteriak: Wahai kaum Ansar! Setelah mendengar suasana begitu, Rasulullah s.a.w. keluar dan bersabda: Ada apakah panggilan seperti jahiliah ini? Mereka menjawab: Tidak ada apa-apa, wahai Rasulullah s.a.w. Hanya ada dua orang anak muda sedang bertengkar. Salah seorang daripadanya berusaha memukul bahagian tubuh yang seorang lagi. Rasulullah s.a.w. bersabda: Kamu tidak perlu menyembunyikan persoalan ini. Seharusnya kamu menolong saudara kamu yang zalim ataupun yang dizalimi. Terhadap yang zalim, maka hendaklah kamu mencegah kezalimannya. Sesungguhnya itu beerti telah menolongnya. Manakala terhadap yang dizalimi hendaklah kamu membelanya.”
(Diriwayatkan oleh Muslim)


1.2     Mengakui kepimpinan Islam dan tidak menjejaskan matlamat perjuangan.

Dalil-dalilnya:

i.    Rasulullah s.a.w. telah menangguhkan tahaluf dengan Bani Syaiban apabila mereka tidak bersedia untuk bersama-sama menegakkan negara Islam dan mempertahankannya. Hal ini terjadi apabila Bani Syaiban menyatakan ketidaksanggupan untuk berhadapan dengan Parsi tetapi hanya sanggup menghadapi kabilah Arab sahaja.

ii.    Rasulullah s.a.w. membatalkan cadangan untuk bertahaluf dengan Bani ‘Amir apabila mereka mahu berkongsi jawatan kepimpinan negara tanpa menerima Islam.


1.3    Tidak berwala’ kepada musuh dan tidak redha dengan pegangan mereka.

Di antaranya ialah mengakui kepimpinan orang-orang bukan Islam dan bertahaluf dengan musuh-musuh Islam untuk memerangi orang-orang Islam.

Firman Allah SWT:
لا يتخذ المؤمنون الكافرين أولياء من دون المؤمنين ومن يفعل ذلك فليس من الله في شيء إلا أن تتقوا منهم تقاة ويحذركم الله نفسه وإلى الله المصير
Maksudnya:
“Janganlah orang-orang yang beriman berwalikan orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian, maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) daripada Allah dalam sesuatu apa pun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada keadaan yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diri-Nya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali.” (Ali Imran: 28)

‘Berwali’ maknanya menjadikan seseorang sebagai pemimpin, teman yang akrab, pelindung atau penolong. ‘Keadaan yang ditakuti’ adalah darurat. Kesetiaan dalam keadaan itu, dilahirkan secara zahir tetapi hatinya tidak redha. Di samping berusaha untuk membebaskan diri dengan merancang bagi meneruskan perjuangan dengan berhijrah dan sebagainya.


Muwada’ah

Di sana terdapat satu persefahaman untuk sementara waktu dengan golongan yang bermusuh di atas maslahah tertentu. Persefahaman ini dinamakan sebagai muwada’ah. Ada juga ulama’ yang meletakkannya dalam perkara hudnah (gencatan senjata). Disebut dalam kitab Syarah Muhazzab karangan Imam Nawawi bahawa di antara maslahahnya ialah mengharapkan mereka masuk Islam, atau membayar jizyah, atau menolong kerana memerangi golongan lain. Tetapi para ulama’ berselisih pendapat dalam menentukan tempoh masanya. Ada yang menghadkan setakat tempoh empat bulan sahaja. Ada yang mengharuskan tempoh masa itu menurut maslahah. Di antaranya ialah kerana pada masa itu orang-orang Islam masih berada dalam keadaan lemah. Adapun, jika tiada apa-apa maslahah atau mudaratnya lebih banyak daripada maslahah, maka persefahaman itu tidak diharuskan.


Isti’anah (meminta bantuan atau pertolongan)

Apabila terdapat persefahaman, maka berlakulah tolong-menolong iaitu sama ada mereka berjanji untuk menolong kita atau pun kita berjanji untuk menolong mereka.

1.    Mereka menolong kita:

Menurut Syeikh Sayid Sabiq di dalam bukunya Fiqhus-Sunnah adalah harus bagi kita untuk menerima pertolongan daripada golongan munafik dan fasiq, kerana Rasulullah s.a.w. pernah membenarkan Abdullah bin Ubay (seorang munafik) menyertai peperangan bersama-sama Baginda. Juga kisah penyertaan Abu Mahjan (seorang fasiq) yang mabuk, dalam peperangan menentang Parsi.

Adapun pertolongan daripada orang-orang kafir, terdapat khilaf di kalangan fuqaha’:

i.    Imam Malik dan Imam Ahmad tidak mengharuskannya secara mutlak.

ii.    Imam Abu Hanifah mengharuskannya dengan syarat orang-orang Islam yang menguasai urusan.

iii.    Imam Syafei mengharuskannya dengan bersyarat:
  1. Apabila orang-orang Islam berada dalam keadaan lemah.
  2. Apabila didapati orang-orang bukan Islam cenderung kepada Islam dan memandang baik terhadapnya, dibenarkan dia memberi pertolongan dengan diberi imbuhan dan bukannya ghanimah (harta rampasan perang).

2.    Kita menolong mereka:

Menurut al-Syarkashi di dalam kitabnya al-Mabsut dan al-Syaibani di dalam kitabnya al-Sayr al-Kabir, Rasulullah s.a.w. menghantar tamar ajwat kepada Abu Sufyan dan mengirim lima ratus dinar ke Mekah supaya dibahagikan kepada orang yang perlu dibantu ketika Mekah dilanda kemarau.

Menurut Ibn Qayyim al-Jawziyah di dalam kitabnya Zadul Ma’ad, apabila Thumamah bin Athal r.a., pemimpin Bani Hanifah memeluk Islam, beliau memerintahkan supaya jangan dihantar bekalan gandum ke Mekah sehingga penduduk Mekah berada dalam kesempitan hidup. Lalu pemimpin-pemimpin Mekah merayu kepada Rasulullah s.a.w. menasihatkan Thumamah agar menghentikan sekatannya.


Kesimpulannya

Tahaluf dapat dibahagikan menurut keadaan berikut:

1.    Dalam peringkat membentuk kerajaan hendaklah dengan syarat:
  1. Kepimpinan mestilah di tangan orang Islam.
  2. Mengiktiraf negara Islam.
  3. Menerima perlembagaan dan syariat Islam.
2.    Tahaluf tanpa membentuk negara:
  1. Kerana maslahah untuk menghadapi musuh yang lebih besar.
  2. Kerana maslahah bersama untuk menentang kezaliman, penyelewengan, membebaskan orang-orang tahanan dan sebagainya.
  3. Tidak terikat dengan syarat yang bercanggah dengan Islam dan kepentingan Harakah Islamiah.


Perhatian

Dalam situasi sekarang, hendaklah diberi perhatian kepada beberapa perkara yang boleh menjejaskan maslahah. Di antaranya ialah seperti berikut:
  1. Matlamat menegakkan negara Islam adalah sangat penting dalam strategi yang diambil oleh Harakah Islamiah. Oleh itu, jangan terikat dengan perjanjian yang akan menghalangnya atau syarat-syarat yang boleh mengikatnya.
  2. Mengutamakan perserfahaman dengan kumpulan-kumpulan Islam yang berpengaruh dan yang mempunyai titik pertemuan dengan perkara prinsip, yang boleh dipercayai. Bukannya yang lemah dan yang tidak berperanan. Kemudian itu, dengan kumpulan-kumpulan yang bukan Islam.
  3. Kita sedang berhadapan dengan masyarakat yang cetek kefahamannya terhadap Islam. Mereka tidak mengetahui perbezaan Islam dengan ideologi-ideologi moden. Oleh itu, golongan Islam hendaklah mempunyai syaksiah yang kuat, yang dapat membezakan mereka dengan parti-parti lain, dan perlu diberi kefahaman kepada mereka tentang perbezaan di antara Islam dan ideologi-ideologi moden. Kalau tidak, tahaluf dengan kumpulan bukan Islam lebih memberikan kesan negatif.
  4. Sekiranya persefahaman dengan kumpulan-kumpulan bukan Islam supaya menerima Islam, atau pada akhirnya akan berlaku juga pertarungan dengan mereka, maka ikatan-ikatan yang longgar perlulah dibuat agar ia tidak membelenggu kita di belakang hari.
  5. Mungkin akan terkeluar kenyataan-kenyataan bersama yang perlu dipertimbangkan dengan tegas dari aspek prinsip kita, kerana kenyataan-kenyataan itu bukan sahaja perlu mengikut selera kita tetapi juga menurut selera mereka.
  6. Perlulah berwaspada terhadap tipu-daya mereka dengan bergantung kepada Allah SWT dan kebijaksanaan kurniaan-Nya.

Penutup

Secara amnya, nas-nas yang dikaji menunjukkan tahaluf boleh berlaku dengan melibatkan gerakan menguasai sesebuah negara. Secara khususnya pula, ketika menghadapi isu-isu atau situasi-situasi yang khusus, dengan memenuhi syarat-syarat sepertimana yang disebutkan.

 Link Asal: http://dupnk.org.my/v1/index.php/kategori-politik/siasah-syar-iyyah/94-tahaluf-siyasi-dalam-konteks-pilihanraya-di-malaysia

2 comments: