Friday 29 June 2012

KEWAJIPAN BERPERSATUAN



DEFINISI PERSATUAN:

Menurut Kamus Dewan Edisi Ke Empat, persatuan bermaksud: 1. gabungan, ikatan, kumpulan  2. perikatan, syarikat 3. perihal bersatu

Bersinonim dengan perkumpulan, badan, pertubuhan, organisasi, yayasan, perbadanan; liga, kelab, lembaga;
Persatuan atau dalam Bahasa Arab disebut jamaah berkait rapat dengan amal ijtima'ie(aktiviti kemasyarakatan). Amal ijtima'ie adalah suatu kerja yang dilaksanakan oleh individu perseorangan atau mana-mana  pertubuhan bertitik tolak dari perancangan yang dilakukan untuk mencapai matlamat-matlamat memberi kebajikan kepada masyarakat umum.

Dr Yusuf Qardhawi menyatakan, antara bentuk amal ijtima'ie ialah seperti membina masjid-masjid, menubuhkan persatuan-persatuan dan organisasi yang mengendalikan urusan agama sama ada ia dikehendaki oleh Kementerian Wakaf atau pertubuhan lain yang menyokong kerajaan.Kadangkala pertubuhan ini dapat memberisumbangan terhadap agama Islam sama ada kadar yang sedikit atau banyak.Kerja-kerja tersebut akan mendapat keredhaan dari Allah SWT berdasarkan sejauhmanakah keikhlasan mereka melaksanakan tugas tersebut.                                                                                                                                                 (Awwaliyat l Harakah Islamiah-Dr Yusuf Qardhawi)

Amal ijtima'ie juga merupakan amal yang diputuskan oleh jamaah dan pimpinannya.Namun begitu, sekiranya ada individu kumpulan atau beberpa kumpulan daripada ahli-ahli jamaah ingin melakukan sesuatu gerak kerja atau amal Islam bagi maslahah umum masyarakat yang tidak diputuskan oleh jamaah,maka ia juga disebut sebagai amal ijtima'ie.Ini disebabkan amal ijtima'ie tidak terikat secara tetap dengan keputusan atau arahan pimpinan jamaah.
Walaupun begitu,perlu diberi perhatian sekalipun amal yang tidak diputuskan oleh jamaah disebut sebagai amal ijtima'ie,hendaklah kerja atau tugasan itu tidak bertentangan dengan syarak dan perkara-perkara yang disepakati oleh jamaah dan pimpinannya.

PENDAPAT TOKOH ILMUWAN TENTANG KEWAJIPAN BERPERSATUAN

1.     Ust Fathi Yakan dalam buku karangan beliau bertajuk “Apa Ertinya Saya Menganut Islam” menyatakan bahawa:
Apabila saya mengaku sebagai seorang muslim, maka saya wajib bekerja untuk Islam. Saya patut bekerja dalam satu jemaah, bekerjasama dengan pendakwah lain yang menyeru kepada Allah dan menyuruh kepada kebaikan serta mencegah keburukan. Saya harus bekerja keras untuk mewujudkan individu muslim, rumah tangga muslim, masyarakat muslim dan negara yang benar-benar Islam.

Allah berfirman:
          Kami akan menguatkan tenaga dan daya usahamu dengan
saudaramu (Harun). (Surah Al-Qasas, Ayat: 35).

           Firman-Nya lagi:

 Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat
kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan
dosa (maksiat) dan pencerobohan. (Surah Al-Maidah, Ayat: 2).

Rasulullah s.a.w bersabda: "Seseorang muslim dengan seorang muslim yang lain laksana satu bangunan yang tersusun, saling kuat-menguatkan di antara satu sama lain".
 (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Sabda baginda lagi: "Tangan (atau pertolongan) Allah itu bersama jemaah. Sesungguhnya serigala itu memakan kambing yang terpisah (dari kumpulannya)".
(Abu Daud meriwayatkan hadith seperti ini.)

Sabdanya lagi: "Kamu wajib bersama jemaah muslimin dan imam (pemimpin) mereka".
 (Hadith sebahagian riwayat Bukhari dan Muslim)

Sabda baginda yang lain:

            "Jemaah itu berkat".
"Jemaah itu rahmat dan perpecahan itu azab".

2.     Dr Yusuf Al-Qardhawi juga meletakkan kewajipan untuk bersatu di atas Islam menjadi salah satu tanggungjawab yang wajib dilaksanakan oleh remaja Muslim.Dalam kitabnya bertajuk  “Kewajipan Remaja Muslim pada Hari Ini”, Dr Yusuf Al-Qardhawi menyatakan bahawa,
- Sesungguhnya remaja-remaja yang cuba membawa diri mereka untuk memahami Islam dengan kefahaman yang betul, beriman dengan Islam yang mendalam, dan saling memberi wasiat antara satu sama lain dan mengajak orang kepada Islam,mestilah saling tolong menolong antara satu sama lain dan mengikat hubungan ukhwah antara mereka.
- Beliau juga menegaskan bahawa, tiada gerak kerja dalam Islam secara solo atau bersendirian,kerana sesungguhnya gerak kerja secara bersendirian tidak cukup dan tidak memadai.

- Firman Allah SWT :
o    “dan orang-orang kafir sesetengahnya jadi penyokong dan pembela bagi sesetengah yang lain.Jika kamu (umat Islam) tidak menjalankan dasar (bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu,nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar”. (Surah al-Anfal:73)
-          Orang kafir memimpin, membantu, dan menolong antara satu sama lain.Semestinya jugalah sebahagian kita memimpin,membantu, dan menolong antara satu sama lain sehinggakan tidak ada di sana pihak kebatilan yang berkumpulan dan pihak kebenaran yang berseorangan.Dalam keadaan begini,akan terjadi fitnah dan kerosakan yang besar di muka bumi.

3)     Ust Hasrizal b. Abd Jamil dalam laman web beliau mengatakan bahawa:
“ berjemaah itu bukan sahaja tuntutan Syariat, malah ia sebenarnya adalah Sunnatullah. Allah SWT telah menetapkan fitrah manusia yang berhajatkan kepada hidup berkumpulan. Sendirian itu sunyi, lantas Adam memerlukan kepada Hawwa. Sekumpulan itu sukar, lantas manusia berkumpul-kumpulan dan saling bertukar hasil untuk memenuhi keperluan hidup masing-masing. Kumpulan nelayan perlukan kepada kumpulan petani. Kedua-dua kumpulan itu perlu pula kepada kumpulan penternak, lantas hasil keperluan itu, timbulnya kumpulan peniaga yang konsep asalnya adalah untuk saling membantu mengisi keperluan sesama kita.
Itu adalah fitrah manusia yang perlukan Jamaah untuk mengisi keperluan hidupnya.
Islam sebagai agama fitrah, menjadikan konsep berjemaah itu sebagai kerangka teras ajarannya. Peranan manusia sebagai Khalifah adalah untuk mengimarahkan hablun minannaas. Kita saling berkhidmat di antara satu sama lain, kerana kita khalifah kepada Allah yang mahukan kita bersyukur kepada-Nya dengan melakukan kebaikan sesama manusia. Manakala kita sebagai hamba Allah, Islam mengajar kita menegakkan ibadah dan syiar agama-Nya secara berjamaah. Kita dituntut solat berjamaah, dan hidup bermasyarakat.
Hal ini terjadi secara harmoni, kerana ia fitrah manusia.
Fitrah manusia memang mahu hidup berkumpulan. Sama ada mereka mahu berkumpul kerana bersepakat di atas satu idea dan agenda, atau pun mereka berkumpul kerana bersepakat menolak satu idea dan agenda. Dari satu kumpulan, mereka lari ke satu ‘perkumpulan’ yang lain. Seorang manusia memang sebahagian daripada kumpulannya.”

4)     John C. Maxwell, seorang tokoh Leadership Training pernah menulis di dalam bukunya, EQUIPPING 101, bahawa, ‘”one is too small a number to achieve greatness“. Tidak ada kejayaan yang dicapai secara bersendirian hatta Lone Ranger juga sentiasa di sisinya ada Tonto!
Selain itu, beliau juga turut menggariskan mengapa kita mesti berpersatuan iaitu:
1.Teams involve more people, thus affording more resources, ideas and energy than would an individual.
2. Teams maximize a leader’s potential and minimize her weaknesses. Strengths and weaknesses are more exposed in individuals.
3. Teams provide multiple perspective on how to meet a need and reach a goal, thus devising several alternatives for each situation.
4. Teams share the credit for victories and the blame for losses. This fosters genuine humility and authentic community.
5. Teams keep leaders accountable for the goal.
6. Teams can simply do more than an individual

KEPENTINGAN BERPERSATUAN

Tidak dapat dinafikan, persatuan memainkan peranan yang penting dalam kehidupan seseorang insan.Kepentingan berpersatuan ini boleh kita kategorikan  kepada beberapa aspek kehidupan.

·          Kepentingan kepada individu

1.     Persatuan dapat menjadi medan setiap individu untuk mencurahkan bakti, menumpahkan segala bakat dan kelebihan yang diberikan oleh Allah SWT untuk kepentingan ummah.


2.     Persatuan dapat mendidik ahli untuk meningkatkan kualiti pembentukan individu Muslim selari dengan syariat Islam.
-Hidup dengan lebih sistematik dan teratur kerana orang yang melibatkan diri dengan persatuan akan lebih bijak membahagikan masa
-Meninggalkan perkara lagho dan tidak berfaedah (cth: menonton movie, borak kosong,mengikut hawa nafsu, berlebih-lebihan dalam tidur,makan, dll)
-Firman Allah SWT:
“Demi masa.sunguh, manusia berada dalam kerugian. Melainkan orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran”. (Surah Al-Asr : 1-3)

3.     Membantu untuk mencapai matlamat utama amal jama’ie
-Amal ijtima’e merupakan salah satu wasilah untuk mencapai matlamat utama amal jama’ie iaitu mengembalikan khilafah Islamiah di atas muka bumi ini.
-Ahli yang tidak dapat melaksanakan amanah amal jama’ie dengan baik boleh menyumbang melalui amal ijtima’ie.

4.     Persatuan membantu individu untuk mempelajari cara pengurusan organisasi yang berkesan di samping menimba ilmu dan pengalaman
-sebagai persediaan untuk menguruskan sebuah organisasi atau jabatan ketika menempuh alam pekerjaan.(cth: membuat kertas kerja,belanjawan, menguruskan program persatuan,meningkatkan communication skill,dll)
- Kata Albert Einstein, pendidikan yang sebenar ialah ilmu yang masih tertinggal apabila seseorang telah melupakan semua apa yang dilalui semasa di sekolah dahulu. Oleh itu, apa pun yang dipelajari semasa melaksanakan aktiviti berpersatuan sebenarnya adalah sebahagian pendidikan untuk membina modal insan mahasiswa.

5.     Persatuan dapat melahikan undividu yang mengambil berat urusan saudaranya
-Sabda Nabi SAW:“Barangsiapa yang bangun (pada waktu) pagi dan tidak mengambil berat urusan umat Islam, dia bukanlah dari golongan mereka” 
-Firman Allah SWT:“dan  tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.Bertaqwalah kepada Allah,sungguh, Allah sangat berat siksaNya.” (Surah Al-Maidah : 2)

6.     Mendapat manfaat daripada program-program yang dianjurkan oleh persatuan
-Meningkatkan tarbiyah diri melalui program kerohanian
-Meningkatkan ilmu dan kemahiran melalui program bersifat akademik, motivasi,sukan,multimedia, dll.

7.      Melatih setiap ahli mampu untuk beraksi dalam medan dakwah melalui persatuan secara lebih praktikal.

- Mengaplikasikan konsep dakwah melalui  kata-kata ( dakwah bil lisan ) dan perbuatan ( dakwah bil hal).
-Dakwah adalah perkara yang wajib dilakukan oleh setiap insan yang mengaku beriman kepada Allah SWT.
-Firman Allah SWT:“Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf,dan mencegah dari yang mungkar.Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.”  (Surah Ali Imran:104)
-Dr Yusuf Al-Qardhawi dalam kitabnya “Kewajipan Remaja Muslim pada Hari Ini” menyebut kewajipan remaja Islam yang ke-3 iaitu kewajipan berdakwah kepada Islam.Seseorang individu itu tidak memadai hanya baik terhadap dirinya sahaja,tetapi Islam mentaklifkan individu itu memperbetulkan orang lain,kemudian berdakwah untuk mengislahkan orang lain.Namun begitu, malaksanakan tanggungjawab dakwah dalam zaman ini bukanlah sesuatu yang mudah.Zaman kita ini terlalu banyak seruan-seruan kejahatan, pemaling-pemaling kepada maksiat, dan penegah-penegah kebaikan,Oleh sebab itu, di dalam hadith menyebutkan:“Orang yang berpegang dengan agamanya seperti menggenggam bara api.”
-Oleh yang demikian, menjadi kewajipan remaja pada zaman ini mengukuhkan dirinya untuk berdakwah di jalan Allah.Tidak ada tugas yang paling besar daripada tugas dakwah ini kerana ia adalah tugas para Anbiya’ dan akan menjadikan kita berpegang teguh dengan tali yang kuat (Islam).Apabila seseorang itu berdakwah, dia akan cuba untuk membentuk satu gambaran yang baik terhadap perkara yang didakwahkan, dan ini menjadikan dirinya sentiasa berpegang dengan ajaran Islam.


8.      Menyingkirkan sikap individualistik dalam semua hal.
-Menghakis sikap mementingkan diri sendiri
- dalam sesuatu perkara kita terpaksa mengorbankan kepentingan diri kita sendiri demi kemaslahatan umum. Ini merupakan salah satu bentuk pentarbiahan yang mendidik setiap individu muslim agar menjiwai erti pengorbanan demi sahabat, persatuan, dan Islam.Jika kita halusi perkara ini, ianya dapat diklasifikasikan sebagai konsep ukhwah pada tahap yang tertinggi ( Ithar ).
-Baginda S.A.W pernah bersabda :
 Maksudnya : Allah memberikan pertolongan kepada hambanya selama mana dia menolong saudaranya.

9.     Mendidik individu untuk mengenali Islam secara lebih mendalam,memahami Islam secara syumul dan membantu untuk mengamalkan Islam dalam segenap aspek kehidupan.

-Dengan melibatkan diri dalam persatuan yang menjadikan Al-Quran dan As-sunnah sebagai landasan, dibimbing oleh golongan ulama’ yang faqih dalam agama, dapat memandu ahli agar lebih memahami Islam yang sebenar melalui program-program yang dijalankan,sama ada yang berbentuk kerohanian, sukan, kebajikan, akademik, dll.

10.  Mempersiapkan diri menjadi seorang profesional perubatan yang berkebajikan, dan bijak menghadapi karenah pesakit.
-          Persatuan membolehkan kita untuk bertemu dan bergaul dengan masyarakat yang berbagai ragam.Hal ini sebagai satu persediaan yang penting kepada bakal doktor untuk menghadapi karenah pesakit yang pelbagai dan menuntut kesabaran yang tinggi dalam memberi perkhidmatan.
-          Melibatkan diri dalam sektor perubatan (doktor perubatan,farmasi,dan pergigian) menuntut kita untuk bijak bergaul dan bermasyarakat.Oleh itu, persatuan merupakan medium terbaik untuk melatih ahli bermasyarakat.

11.  Memenuhi tuntutan dan harapan negara pada masa hadapan untuk melahirkan generasi yang mampu mencorak masyarakat dan menjadi pelapis pentadbiran negara.
-Mahasiswa merupakan modal insan dan aset negara yang sangat berharga.
-Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata:“ pencapaian cemerlang akademik pelajar perlu diseimbang dengan penyertaan mereka dalam aktiviti kokurikulum bagi melahirkan kepimpinan masa depan yang lebih berkualiti.Beliau berkata, melalui pencapaian cemerlang dalam akademik dan kokurikulum dengan berbekalkan akhlak yang baik, ia akan melahirkan barisan kepimpinan masa depan negara yang lebih berkualiti.“Pelajar perlu cemerlang secara holistik, dari segi akademik dan cergas dalam kokurikulum, barulah dapat bangunkan pimpinan di hari muka,”
12.  Menggalakkan ahli untuk melaksanakan amal kebajikan seperti mana yang dituntut dalam Islam
-Firman Allah SWT:“Wahai orang-orang yang ebriman,!Ruku’lah,sujudlah,sembahlah TuhanMu dan perbuatlah kebajikan supaya kamu mendapat kemenangan.”                             (Surah Al-Hajj:77)
13.  Mendapat ganjaran pahala melalui amal kebajikan yang dilakukan
-Firman Allah SWT:“Maka barang siapa mengerjakan kebaikan seberat zarrah,dia akan melihat (balasan)nya.Dan barangsiapa mengerjaka kejahatan seberat zarrah,nescaya dia akan melihat (balasan)nya”. (Surah Az-Zalzalah:7&8)

·         Kepentingan kepada masyarakat

14.  Melahirkan masyarakat yang harmoni dan saling mengambil berat antara satu sama lain.
-          Ahli saling berlapang dada dan saling hormat-menghormati.
-          Melahirkan masyarakat yang mempraktikkan konsep ukhwah Islamiah dalam kehidupan

15.   Menyahut saranan Islam supaya hidup secara berjemaah.
-          Hal ini dapat dibuktikan dengan sebuah hadith rigkas secara mafhumnya dapat difahami bahawa Rasulullah S.A.W menyeru kepada seluruh umatnya agar membentuk sebuah organisasi hatta untuk keluar bermusafir dalam kuantiti yang hanya seramai dua orang iaitu dengan melantik salah seorang menjadi ketua.Hal ini kerana syaitan yang menjadi musuh tradisi kita sentiasa mencari ruang untuk mengganggu dan menyesatkan manusia. Seperti yang kita ketahui dengan hidup secara berjamaah pasti usahanya itu akan terbantut

16.  Menjadi wadah yang menyatukan semua ahli.
- ahli yang terdiri dari pelbagai latar belakang, corak pemikiran yang berbeza, dapat disatukan melalui perkongsian pengalaman, ilmu, idea, dll.
-Sabda Rasulullah SAW:“(Bandingan) antara Muslim dengan Muslim yang lain samalah seperti binaan yang tersusun kukuh,sebahagiannya memperkuat yang lain.”                       (HR Bukhari dan Muslim)
-Firman Allah SWT:Dan berpegang teguhlah kamu semuanya dengan tali(agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai.. (Surah Ali Imran: 103)

17.   Memupuk semangat integriti yang tidak berbelah bahagi.
- Usaha ini sejajar dengan kehendak Islam yang amat menitik beratkan konsep ukhuwah. Jika kita soroti peristiwa hijrah Baginda S.A.W dari Makkah ke Madinah, kita akan dapati agenda yang diketengahkan oleh Rasulullah S.A.W untuk menjana kekuatan umat Islam adalah melalui konsep penyatuan dan persaudaraan. Usaha Baginda S.A.W untuk mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar jelas memberikan kita mesej yang tersendiri akan kepentingan konsep kesatuan dan persaudaraan. Hasilnya kita sendiri dapat saksikan dengan kemenangan besar yang diraih oleh Umat Islam pada masa itu.

18.   Menghidupkan suasana Islamik secara lebih praktikal.
-Kita akui akan sukarnya untuk melakukan perkara ini kerana ianya melibatkan suasana persekitaran. Suasana seperti ini hanya dapat dihidupkan dengan bantuan daripada individu lain kerana ianya tidak dapat dilakukan secara berseorangan. Dengan erti kata lain, perlu kepada jamaah.

AKIBAT TIDAK BERPERSATUAN

1)     Menjadi individu yang hanya hidup nafsi-nafsi dan menyebabkan menularnya penyakit  tekanan jiwa dan mental.

2)     Mahasiswa menjadi lesu dan tidak produktif

-“Satu perkara yang sangat jelas pada ketika ini di semua IPT ialah wujudnya seakan kelesuan kegiatan berpersatuan pelajar berbanding era 1990-an. Imej kelesuan kini sering dikaitkan dengan kepimpinan mahasiswa yang lemah, pelaksanaan program dan aktiviti bersifat picisan, tiada peruntukan dan bantuan yang mencukupi, kurang melibatkan kalangan masyarakat, kegiatan yang tidak intelek dan sangat kurang yang bersifat kesukarelaan atau khidmat masyarakat”                  (rencana:Utusan Malaysia)

3)     Melahirkan mahasiswa lebih suka menunggu arahan pensyarah dalam tugasan mereka dan gemar dipimpin berbanding memimpin
-Oleh kerana program akademik yang semakin padat, pembelajaran di universiti kini lebih cenderung belajar berasaskan modul, kurang inisiatif mencari input-input tambahan, sangat bergantung pada bacaan asas atau teks utama.
-Mahasiswa sekarang lebih sukakan pengajaran yang bermodul. Dengan kata lain, pembelajaran sudah dirancang sepenuhnya oleh pensyarah untuk pelajar. Mereka akan menilai seseorang pensyarah sebagai baik dan berkualiti jika pensyarah tersebut menyediakan segalanya untuk mereka.
-Pelajar lebih suka kepada pensyarah yang menyediakan semuanya untuk mereka. Dari senarai bahan bacaan utama, nota kuliah, bahan bacaan tambahan hinggalah kepada contoh soalan tahun-tahun lepas.

4)     Menularnya sikap-sikap negatif seperti  imej 'ulat-Internet', taksub dan 'gila' komputer, khayal dengan hiburan terkini serta meminati bahan dan media bacaan ringan. Etika berpakaian juga semakin lemah. Alasannya lebih ringkas adalah lebih praktikal.

5)     Mengabaikan tanggung jawab yang lebih utama

-Sikap taksub Internet telah melalaikan mereka kepada perkara lain yang jauh lebih penting. Mereka kurang melibatkan diri dengan persatuan yang bertujuan melatih pembangunan berorganisasi, bermesyuarat serta berkomunikasi dengan rakan berpersatuan. Rata-rata pelajar IPT sekarang lebih suka berdiskusi melalui blog dan emel dan kemahiran berkomunikasi secara berdepan tidak lagi menjadi keutamaan pada mereka.

6)     Hilangnya jati diri mahasiswa yang berketerampilan,berkarliber dan matang dalam bertindak dan membuat keputusan
-Program persatuan juga sudah bersifat picisan, ringan serta tidak menonjolkan keintelektualan pelajar IPT. Mereka cenderung untuk menganjurkan pertandingan permainan video, nyanyian pop, hip-hop atau nasyid melalui karaoke dan kurang pula ingin mempelajari ilmu nyanyian yang betul. Program mereka juga kadang-kala mirip 'pesta pasar malam' yang dipenuhi dengan gerai makanan, baju dan peralatan dan aksesori komputer.

7)     Mahasiswa lebih mementingkan diri sendiri,tidak berminat untuk memikirkan masalah dan kepentingan ummah
-Biasanya di hujung minggu, pelajar IPT lebih suka pulang ke kampung untuk menghabiskan cuti di rumah. -Mahasiswa lebih cenderung untuk menghabiskan masa dengan melancong dan berjalan-jalan berbanding menjayakan aktiviti berpersatuan dan aktiviti-aktiviti yang mendatangkan faedah kepada masyarakat umum.
 Persoalan: Aktif berpersatuan menggagalkan akademik?
Persoalan ini seringkali ditimbulkan oleh golongan-golongan yang menolak persatuan. Bagi mereka, melibatkan diri dalam persatuan hanya menempah tiket untuk gagal dalam peperiksaan. Hal ini adalah tidak berasas sama sekali.Berdasarkan bukti-bukti dan kajian-kajian yang telah dilakukan, aktiviti berpersatuan bukanlah penyebab kepada kegagalan pelajar dalam pelajaran,malah memberi banyak faedah dalam mendidik mahasiswa mahasiswi yang punya jati diri dan modal insan yang seimbang.
Lee Wee Lim,Pembantu Felo KTC Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor, dalam kajiannya yang bertajuk “Penglibatan Pelajar Secara Aktif dalam Aktiviti Kolej dan Kesan Terhadap Pencapaian Akademik: Suatu Kajian Kes di Kolej Tuanku Canselor (KTC), UTM Skudai” mengatakan bahawa:

Rata-rata ramai yang menganggap bahawa menyertai aktiviti kolej seperti menjadi pemimpin jawatankuasa kolej mahasiswa (JKM), ahli dalam kelab-kelab pelajar, ketua dan ahli jawatankuasa tertinggi dalam sesebuah organisasi, persatuan-persatuan, serta sukan adalah penyumbang utama kepada kemerosotan prestasi akademik pelajar tersebut menyebabkan pelajar mengabaikan pelajaran seterusnya menyebabkan CPA mereka merosot. Kajian yang dijalankan ini adalah bertujuan untuk melihat adakah benar kenyataan tersebut atau sebaliknya. Kajian ini melibatkan empat orang pelajar sebagai responden yang mana sampel dipilih secara sampel bertujuan dan kaedah penyelidikan qualitatif iaitu temubual. Hasil kajian menunjukkan bahawa pelajar yang melibatkan diri secara aktif tidak memberi kesan negetif terhadap pencapaian akademik tetapi sebaliknya keputusan mereka lebih meningkat dan cemerlang.

Berdasarkan kajian yang dilakukan, beliau telah memilih empat orang ahli Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tuanku Canselor (JKM KTC) dari Majlis Ekskutif dan Majlis Tertinggi untuk menjadi sampel kajian. Pemilihan dibuat berdasarkan pencapaian GPA mereka sebelum dan semasa menyertai JKM yang telah menunjukkan peningkatan yang menggalakkan dan melibatkan diri secara aktif dalam berpersatuan. Data-data diperolehi daripada
keputusan semester sebelum dan semester selepas diperoses secara analisis dokumen. Maklumat-maklumat
mengenai aktiviti-aktiviti yang pernah dilaksanakan, cara pembelajaran, dan penggunaan masa purata
dalam seminggu diperolehi secara temubual.

Keputusan Kajian:

Dalam kesimpulan kajiannya, Lee Wee Lim menegaskan bahawa,sememangnya penglibatan dalam aktiviti berpersatuan bukanlah satu-satunya punca kemerosotan akademik pelajar. Data-data kajian telah menunjukkan bahawa walaupun pelajar tersebut begitu aktif dalam JKM, tetapi masih lagi mampu menunjukkan peningkatan yang mantap. Begitu juga dengan GPA/CPA mereka yang masih berada dalam kedudukan Kelas pertama dan Kelas Kedua Tinggi. Banyak faktor sebenarnya yang menyebabkan kemerosotan akademik pelajar. Antaranya, pengurusan masa yang tidak teratur, kaedah pembelajaran yang tidak sesuai, kurangnya motivasi diri, sikap malas, masalah cinta dan sebagainya.

Pelajar yang cemerlang akademik adalah pelajar yang pandai menguruskan masa, mempunyai motivasi
diri yang tinggi serta kaedah pembelajaran yang betul. Pelajar yang cemerlang mestilah seimbang dari segi
pencapaian akademik dan sahsiah diri.

Dengan berpersatuan, sifat kepimpinan pelajar dapat dipupuk. Malah, terdapat beberapa sifat
pemimpin yang membezakan mereka daripada individu biasa. Antaranya ialah fizikal yang sihat dan
bersemangat, personaliti yang meyakinkan, jujur dan amanah, keyakinan diri yang tinggi, kemampuan
bersosial dan bekerjasama, berdiplomasi, bijak dan adil serta mahir dan mampu membuat keputusan dalam
apa jua situasi.

Pelajar yang berpersatuan juga dilatih dari segi pengurusan, seperti pengurusan masa, perancangan
strategik, kemahiran komunikasi dan sistem dokumentasi berkesan. Selain daripada itu, pelajar juga
berpeluang mengikuti aktiviti aktiviti luaran yang menjana ke arah kepimpinan yang tidak lesu dan sentiasa
cergas bertenaga.(Amalan Pengurusan Masa Mahasiswa dalam Akademik dan Persatuan: Rujuk Lampiran 7.4)

Kesimpulan
Berdasarkan kajian kes yang telah dilakukan di atas, jelaslah kepada kita bahawa aktif berpersatuan bukanlah menjadi punca kegagalan seseorang pelajar.Walaupun kajian kes di atas bukan dilakukan terhadap pelajar bidang sains kesihatan, namun ia menjadi satu motivasi bagi kita untuk menyahut cabaran ini dan membuktikan bahawa pelajar perubatan,pergigian, mahupun farmasi mampu menjadi insan yang seimbang intelek dan kepimpinannya.

Kecemerlangan dalam bidang akademik dan persatuan ini juga telah dibuktikan oleh sahabat-sahabat kita yang memegang tampuk kepimpinan dalam persatuan. Jika kita analisis natijah peperiksaan pimpinan persatuan, ada di antara mereka yang mampu mendapat keputusan Mumtaz,Jayyid Jiddan, dan Jayyid walaupun dihambat dengan tugasan-tugasan persatuan yang sangat banyak. Apa formulanya? Tentunya keyakinan yang tinggi bahawa setiap amal yang dilakukan ikhlas kerana Allah SWT, pasti mendapat pertolongan dan ganjaran disisiNya. Selain itu, cara pembelajaran yang efektif, berdisiplin,menjaga masa,dan lain-lain sangat membantu untuk membentuk mahasiswa yang cemerlang dan seimbang.

Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman!Jika kamu menolong (agama) Allah,niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.”     (Surah Muhammad:7)

Sabda Nabi Muhammad SAW:
“Siapa berusaha menolong keperluan saudaranya hingga terpenuhi atau tidak terpenuhi,maka Allah mengampuni dosanya yang terdahulu dan yang kemudian serta menulis untuknya dua keselamatan; selamat dari neraka dan selamat dari kemunafikan.”

Kita perlu sedar bahawa mahasiswa mahasiswa hari ini adalah menjadi tonggak pembentukan negara pada masa hadapan.Justeru, ayuhlah kita mantapkan potensi diri dan bina jati diri yang mapan agar mampu memenuhi tuntutan agama, bangsa dan negara ketika pulang ke Malaysia kelak.


8.0  RUJUKAN
Ø  Terjemahan Al-Quran Darul Iman
Ø  Apa Erti Saya Menganut Islam: Fathi Yakan
Ø  Terjemahan Mukashafah Al Qulub:Imam Al-Ghazali
Ø  Kertas Kerja Kolokium Ilmuan PMRAM
Ø  Kewajipan Remaja Muslim Pada Hari Ini : Dr Yusuf Al-Qardhawi
Ø  Tesis Amalan Pengurusan Masa Mahasiswa dalam Akademik dan Aktiviti Berpersatuan : Mohd Azhar bin Mohd Yusof
Ø  Penglibatan Pelajar Secara Aktif dalam Aktiviti Kolej dan Kesan Terhadap Pencapaian Akademik: Suatu Kajian Kes di Kolej Tuanku Canselor (KTC),UTM Skudai – Lee Wee Lim
Ø  Utusan Malaysia
Ø  http://www.usimonline.my/ms/buletin/1-pentadbiran/4-anugerah-kecemerlangan-siswa-tingkat-motivasi-pelajar.html

16 comments: